Uncategorized

Bank Pembangunan perkenal rangka kerja penilaian impak seiring matlamat global

Rangka kerja penilaian impak yang berkesan adalah penting dalam memastikan elemen-elemen pembangunan ini dapat ditakrifkan

 

KUALA LUMPUR, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat –  Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) kini memperkenalkan rangka kerja Penilaian Kesan Terhadap Pembangunan Nasional (MIND) dengan sebahagian besarnya berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Matlamat Global.

Pengerusinya, Datuk Seri Nazir Razak berkata, institusi kewangan pembangunan (DFI) lazimnya menilai aspek pinjaman dan pelaburan masing-masing dari sudut impak bersama ukuran prestasi tradisional kewangan seperti risiko kredit dan keuntungan.

“Rangka kerja penilaian impak yang berkesan adalah penting dalam memastikan elemen-elemen pembangunan ini dapat ditakrifkan serta diukur secara objektif.

“Ini bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil adalah berpandukan alasan yang jelas dan objektif bagi memastikan sumber-sumber berharga diperuntukkan secara wajar dengan amalan tadbir urus baik di semua peringkat operasi kita,” katanya.

Menurut Nazir, sebagai rangka kerja impak yang menyeluruh, MIND turut menjadi pelengkap proses penilaian kredit semasa BPMB dengan turut mengambil kira aspek impak ke atas pembangunan.

“Semua projek diukur berpandukan 32 indikator pembangunan yang dipilih berdasarkan kewajarannya terhadap mandat BPMB serta keutamaan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, BPMB turut mewujudkan Kerangka Sukuk Pembangunan Mampan menerusi penetapan Sukuk Wakalah Mampan pertama bagi tempoh tujuh tahun yang berdasarkan penempatan persendirian dan menyasarkan akaun-akaun strategik tumpuan ESG yang terpilih.

“Mengambil kira minat ketara terhadap Sukuk Wakalah Mampan, BPMB bertindak melaksanakan opsyen untuk meningkatkan transaksi daripada sasaran awal terbitan awal bernilai RM300 juta kepada RM450 juta.

“Ini hanya mengesahkan lagi sokongan pelabur yang memberangsangkan terhadap komitmen BPMB ke arah pembiayaan mampan dan agenda ESG,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button