Berita Utama

Jadikan vernakular sebagai modal politik sikap pemimpin munafik

Rakyat perlu tolak pemimpin pentingkan diri seperti ini

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Pemimpin yang menabur janji untuk membela sekolah vernakular ketika pilihan raya disifatkan sebagai pemusnah kepada keharmonian kaum.

Pemimpin seperti itu tidak boleh lagi berkhidmat untuk negara kerana mempunyai sifat munafik yang hanya tahu menabur janji, walaupun belum tentu dapat merealisasikannya.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berkata, walau apa pun alasan, sistem sekolah vernakular perlu dihentikan kerana memusnahkan perpaduan kaum.

“Sistem sekolah vernakular perlu dihapuskan segera kerana membesarkan jurang perpaduan selain menghalang pembentukan identiti nasional yang perlu didukung oleh anak bangsa.

“Kita tidak memerlukan lagi pemimpin yang munafik seperti itu yang hanya tahu cari kepentingan peribadi dan hanya kerana mahu pangkat dan kuasa sahaja tetapi bukan untuk membela anak bangsa dan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan ahli politik menggunakan peruntukan sekolah vernakular sebagai senjata paling ampuh untuk memenangi hati pengundi setiap kali datangnya pilihan raya.

Katanya, tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan hanya melebarkan jurang antara kaum.

“Kenapa perlu kita wujudkan banyak  sistem di sekolah sekiranya mahu semua rakyat bersatu dan tanamkan sifat cintakan negara.

“Bagaimana mahu wujudkan rasa cinta jika masing-masing tidak sebumbung, inikan sesuatu yang janggal sedangkan kita berada di negara yang sama,” soalnya.

Sehubungan itu, Mohd Nor Izzat menyeru individu yang mahu menjadi pemimpin ditapis demi melahirkan mereka yang benar-benar mahu membela rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button