Berita Utama

Ikrar sokong Anwar, bukankah itu satu bentuk kerjasama?: Annuar Musa

Akar umbi UMNO masih pegang kuat dengan dasar ‘No Anwar, No DAP’

BANGI, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Isu pertikaian terhadap kerjasama di antara UMNO dan PKR dilihat semakin tegang.

Terbaharu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang merujuk kenyataan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri mendakwa bahawa tindakan boleh diambil jika pemimpin parti menjalin kerjasama dengan PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Ini kerana tindakan itu bercanggah dengan dasar parti yang masih berkuat kuasa sehingga kini, kata Annuar.

Bukan hanya Ismail Sabri, beliau mendakwa bahawa pendirian sama juga diulangi Ketua UMNO Sabak Bernam hari ini, yang menyatakan Presiden parti juga boleh dihukum jika bekerjasama dengan Anwar serta DAP.

“Ini bererti dasar ‘No Anwar No DAP’ masih kuat dipegang akar umbi UMNO.

“Satu persoalan, apakah bermesyuarat, berpakat dan seterusnya menandatangani surat sokongan kepada Anwar sebagai PM ke-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mengikrar taat setia kepada Anwar secara hitam putih bukan merupakan jalinan kerjasama?

“Jika ya, apa tindakan seterusnya?,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden PKR tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO walaupun perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.

Anwar dilaporkan berkata, kerjasama itu disokong beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO, dan ia akan menjadi kenyataan jika parti terbabit tekad memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button