Berita Utama

MN hanya gimik? Mana naratif perjuangan Islam, Melayu?

Sudah 2 tahun, kes Muhammad Adib dan tanah rizab Melayu tak terbela secara tuntas

BANGI, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Muafakat Nasional (MN) yang diharapkan menjadi ‘payung’ dalam memperjuangkan naratif Islam-Melayu seolah-olah ‘terkubur’ selepas pertukaran kerajaan.

Sebelum ini, piagam MN yang dimeterai UMNO dan PAS antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Namun selepas dua tahun detik bersejarah itu, tidak begitu ketara perkara yang diperjuangkan MN.

Justeru, pemerhati politik, Ustaz Haji Omar mempersoalkan sama ada petubuhan MN hanya gimik semata-mata.

“Dulu ketika ditubuhkan, MN dikatakan sebagai kerjasama UMNO-PAS untuk memperjuang naratif Islam-Melayu. Kini dua tahun berlalu, tiada perubahan, kes Adib tidak dibela secara tuntas, tanah rizab Melayu tidak terbela,” luahnya kesal.

Beliau berkata demikian merujuk kepada persoalan dibangkitkan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya mengenai pembentukan MN.

“Maka apalah erti air mata orang Melayu yang keluar semasa menandatangani perjanjian Muafakat Nasional PAS-UMNO?

“Adakah itu retorik untuk menipu orang Melayu Islam? Sungguh malang nasib bangsa ini,” soal Haji Aminuddin.

Pengerusi PEMBELA itu berkata demikian sebagai respons kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang menyifatkan MN bukan satu pembentukan kerjasama politik yang dibuat secara formal.

Sebaliknya, perjanjian MN itu hanyalah satu piagam politik yang tidak didaftarkan melalui Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagaimana Barisan Nasional (BN).

Malah, Khaidirah mendakwa UMNO dan PAS masih boleh mewujudkan satu kerjasama politik tidak rasmi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang sekalipun ruang kerjasama rasmi melalui MN sudah tertutup.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button