Berita Utama

Rentas negeri: Patuhi had laju ditetapkan

Guna produk keselamatan kurang risiko kecederaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Meskipun rakyat rata-rata bimbang kemungkinan lonjakan bilangan kes positif COVID-19 susulan aktiviti rentas negeri, namun ada juga yang resah memikirkan kebarangkalian peningkatan kemalangan jalan raya.

Ini kerana aliran trafik di semua lebuh raya utama negara mencatatkan 3.8 juta kenderaan kelmarin.

Mengikut data yang direkodkan pada Rabu, tiga lebuh raya utama iaitu Lebuh Raya Utara Selatan merekodkan 1,075,408 kenderaan, Lebuh Raya KL-Karak (97,758) serta Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) (34,041).

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, tinjauan trafik di tujuh plaza tol utama pada hari berkenaan juga mendapati berlaku peningkatan ketara jumlah kenderaan berbanding 6 Oktober lepas.

Justeru, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku di jalan raya, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan KC Mani menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan.

Beliau bimbang dalam situasi kecemasan, pemandu tidak dapat memberhentikan keadaan dengan selamat sekiranya memandu melebihi had yang ditetapkan.

“Mana-mana kemalangan yang berlaku pada kelajuan yang tinggi kemungkinan besar akan menjadi kemalangan maut.

“Justeru, saya minta semua pemandu di luar mematuhi had kelajuan dan kalau boleh kurangkan kelajuan juga,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan kepentingan penggunaan produk keselamatan antaranya tali pinggang keledar dan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

“Salah satu cara untuk mengurangkan kecederaan, gunakan produk keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Prof Kulanthayan mengingatkan aktiviti rentas negeri yang melibatkan pergerakan orang ramai memberi risiko lebih tinggi untuk terdedah kepada COVID-19 berbanding keadaan sedia ada.

Oleh itu, beliau meminta setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada masa sama sedar bahawa tidak semestinya seseorang itu telah mengambil vaksin tidak akan mendapat semula jangkitan.

“Cuma dari segi tahap mungkin tidak setinggi dahulu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button