Berita Utama

Untung lumayan, syarikat besar wajar kurangkan kebergantungan pekerja asing

Buka lebih banyak ruang pada bakat dan tenaga tempatan

BANGI, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Syarikat mega yang memperoleh keuntungan berlipat kali ganda disaran memulakan langkah mengurangkan kebergantungan dan eksploitasi pekerja asing.

Langkah terbaik adalah membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan dengan lebih radikal.

Semua maklum, kebanyakan syarikat yang mencatatkan keuntungan lumayan sebahagian besarnya menggunakan hampir keseluruhan pekerja asing untuk beroperasi.

Justeru, segala keuntungan lumayan harus menjadi pendorong, malah pendesak kuat untuk syarikat besar ini menyumbang kepada negara dengan cara lebih bersepadu selain cukai, sumbangan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ia boleh dimulakan dengan mengurangkan kebergantungan besar-besaran kepada pekerja asing.

“Memandangkan keuntungan dan laba perolehan yang dikaut selama ini sangat besar dan lumayan, peningkatan kecil kos operasi kerana mengurangkan pekerja asing dan mengutamakan bakat serta warga tempatan tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, saranan itu harus dilihat sebagai agenda nasional atau ‘national service’ oleh syarikat-syarikat ini.

Malah, dalam konteks polisi, tidak pelik jika ikhtiar mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing ini dilihat sebagai satu bentuk ‘harm reduction policy’ kepada ekosistem ekonomi Malaysia.

Meskipun menjangkakan bahawa pekerja asing tidak boleh disekat dan diketepikan sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya syarikat-syarikat dengan keuntungan ratusan juta ini boleh memulakan langkah untuk mengutamakan pekerja dan bakat tempatan, katanya.

“Saya sangat berharap yang syarikat-syarikat tempatan yang mengumpul kekayaan besar di negara kita ini akan lebih berjiwa besar Pastikanlah segala kemewahan dan kemakmuran negara yang dikaut selama ini dikongsikan dengan cara yang lebih bermakna dan menyeluruh dengan menggaji lebih ramai pekerja tempatan.

“Saya yakin, sekiranya syarikat-syarikat pengeluaran di negara kita menawarkan insentif yang baik seperti gaji yang bermaruah, manfaat perubatan dan kesihatan yang munasabah, peluang latihan yang berkualiti keseimbangan alam pekerjaan dan kehidupan, ramai sahaja anak tempatan yang mahu menyertai industri pembuatan dan pengilangan . Malah segala industri yang lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button