Polis tahan semula 22 suspek Macau Scam di Perak
Sambungan reman susulan bantu siasatan kes penipuan lain
IPOH, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Seramai 22 suspek Macau Scam yang ditahan polis di Perak akhir bulan lalu ditahan semula hari ini, bagi membantu siasatan kes penipuan lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Hasbullah Abd Rahman berkata, tempoh reman semua individu warga tempatan berumur antara 18 hingga 27 tahun itu sejak 30 Oktober lepas berakhir hari ini.
“Hari ini kesemua mereka ditahan semula bersangkut kes lain tetapi tetap melibatkan penipuan dan kita akan mengemukakan permohonan reman esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Selasa lalu, Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng dalam satu sidang media berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak dengan JSJK Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket Macau Scam yang terbabit dalam 76 kes penipuan sejak dua tahun lepas membabitkan kerugian RM11 juta .
Sindiket berpangkalan di Malaysia dan menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa itu tumpas dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang dijadikan pusat panggilan. -Bernama