Berita Utama

Bahasa Isyarat akan diperkenalkan di Tabika Perpaduan tahun depan

Pengajaran itu sebagai penambahan pengajaran bahasa ketiga

 

IPOH, 9 Rabiulawal 1443H, Sabtu  – Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan pengajaran bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga di bawah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 di Tabika Perpaduan di seluruh negara tahun depan.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pengajaran bahasa isyarat itu merupakan penambahan pengajaran bahasa ketiga di Tabika Perpaduan, selain bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban.

Beliau berkata kesemua pengajaran bahasa ketiga itu akan dilaksanakan di semua 1,781 Tabika Perpaduan yang melibatkan 38,000 murid di seluruh negara.

“Sebelum ini, terdapat cadangan (pengajaran bahasa isyarat) daripada Senator Datuk Ras Adiba Radzi dalam perbahasan di Dewan Negara yang mencadangkan supaya kita (Kementerian Perpaduan Negara) ajarkan bahasa isyarat kepada anak-anak di Tabika Perpaduan.

“Itu satu perkara yang sangat baik, sekurang-kurangnya anak-anak ini ada kemahiran baharu. Sekurang-kurangnya mereka boleh bertutur dan faham dengan rakan-rakan lain yang mungkin tidak dapat bertutur dan menggunakan bahasa isyarat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perpaduan Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RT Cares dan Kebun Komuniti KRT Kampung Tersusun Klebang Selatan Kinta yang turut dihadiri Pengarah Perpaduan Negeri Perak Mansor Mohd Hashim, hari ini.

Halimah berkata pengajaran bahasa ketiga itu tidak termasuk dalam sukatan mata pelajaran atau subjek di Tabika Perpaduan dan ia tidak akan membebankan murid.

Menurut Halimah kementeriannya telah mengatur kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan guru-guru terbabit sedang menjalani latihan yang ditetapkan.

“Kita juga ambil guru-guru yang sudah pencen dan ada di antara mereka yang fasih bertutur dalam bahasa ketiga dan boleh mengajar murid-murid ini,”  katanya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button