Berita Utama

Campur tangan mahkamah mampu tangani masalah ceroboh tanah

Selesai di mahkamah lagi mudah dan tidak bebankan 2 pihak

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Tiada cara lain yang lebih mudah melainkan mendapatkan injuksi dari mahkamah supaya masalah pencerobohan tanah secara haram dapat dihentikan pada masa hadapan.

Pandangan itu dikeluarkan pakar perundangan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berhubung isu pencerobohan tanah yang semakin kerap berlaku dewasa ini.

“Isu ini melibatkan kes hak pemilikan tanah dan undang-undang tanah, sebaiknya masalah ini diselesaikan dengan mudah di mahkamah.

“Pemilik tanah perlu mendapatkan daripada perintah injuksi daripada mahkamah berhubung kes pencerobohan tanah secara haram.

“Ia juga bertujuan supaya dapat menghentikan atau menghalang pencerobohan tanah itu diteruskan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes pencerobohan tanah secara haram milik Yayasan Kubra di Rawang dengan pembinaan kuil-kuil kecil selepas mendakwa tanah berkenaan sebagai terbiar.

Mengulas lanjut, Prof Kamal berkata, pemilik perlu ke mahkamah segera dan perkara ini boleh diselesai cara baik serta mudah.

“Permasalahan ini kalau dibincang secara mulut hanya menyebabkan perbalahan sebab itu lebih baik selesai di mahkamah yang mempunyai hitam putih yang jelas,” katanya lagi.

Isu pencerobohan secara haram berkenaan menjadi tular di media sosial selepas pemilik kuil menuntut sejumlah pampasan selepas pemilik Yayasan Kubra meminta pihak kuil mengosongkan kawasan tanah yang diceroboh secara haram.

Tanah milik Yayasan Kubra itu dalam perancangan untuk dibangunkan Pondok Hijrah Muslimah, iaitu sebuah rumah perlindungan wanita dalam tempoh dua tahun akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button