Berita Utama

‘Musuhi’ MN, UMNO bakal berdepan masalah besar

Kepercayaan rakyat terhadap politik terhakis, UMNO-PAS kembali berseteru

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Rabiulawal 1443H, Sabtu – UMNO bakal berdepan masalah besar berikutan tindakannya ‘memusuhi’ Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama PAS.

Situasi itu menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap gabungan yang dibentuk dengan asas untuk membela nasib orang Melayu, Islam itu terhakis sekali gus menyebabkan mereka semakin muak dengan politik negara.

Keadaan ini tegas penganalisis politik, Prof Jeniri Amir hanya memberi peluang besar kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memperoleh kemenangan ‘selesa’ dalam pilihan raya nanti.

“Sepatutnya MN dijadikan medan terbaik mencari jalan penyelesaian bagi kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

“Tapi hari ini, MN musnah akibat perbuatan pemimpin kita sendiri yang rasa hebat dan mahu tunjuk diri kuat.

“Walaupun hakikatnya dia tidak mampu kukuh sendirian seperti dulu kerana kepercayaan orang ramai kepada parti berkenaan semakin luntur,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tegas beliau, sekiranya pemimpin UMNO matang dan tahu kebaikan dalam kerjasama itu, mereka tidak akan memusnah perjanjian berkenaan sebaliknya akan terus mendukungnya.

Namun, Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berpandangan, sikap pentingkan diri sendiri ini hanya merugikan semua pihak.

“Dua parti utama ini seharusnya bergabung supaya terus kuat memandangkan PAS dan UMNO memiliki ahli yang ramai selain jentera yang kuat, selain paling dominan berbanding parti-parti lain yang merupakan serpihan sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Prof Jeniri menjangkakan UMNO dan PAS kembali bertembung menjadi seteru.

“Situasi itu menyebabkan mereka kembali bermusuh dan keadaan itu memberi kesempatan kepada pihak lain,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button