BERJASA tawar 7 ciri politik baharu pada PRU15
Rundingan jajaran baharu sedang dibuat bersama NGO, parti alternatif

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 10 Rabiulawal 1443H, Ahad – Parti BERJASA menawarkan kepimpinan baharu untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti melalui tujuh ciri politik baharu.
Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, tawaran ini diberikan hasil mesyuarat khas parti yang telah membincangkan isu-isu politik semasa negara.
Majoriti rakyat Malaysia sudah muak serta bosan dengan situasi politik tanah air terutamanya permainan politik kotor parti- parti yang hanya mementingkan keuntungan peribadi mengatasi kepentingan rakyat dan negara.
“Kini perlu akui bahawa negara ini sedang dirosakkan oleh pimpinan parti politik sedia ada yang korup, rasuah dan tidak berintegriti,” katanya dalam sidang media Jajaran Malaysia Unggul, di sini, hari ini.
Ustaz Zamani berkata, antara tujuh ciri politik ditawarkan BERJASA adalah kepimpinan baharu yang bebas daripada cengkaman budaya politik wang dan kawalan tradisi ‘warlord’.
Kedua, beliau berkata, BERJASA mahu menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri hubungan etnik, ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomenna cauvinisme dan rasisme.
Ketiga, mengangkat agenda pemerkasaan orang Melayu dan Bumiputera dalam segenap bidang, demi kestabilan politik jangka panjang, melangkaui sempadan kepartian dan kuasa.
“Keempat, menimbang kepentingan pelbagai kaum secara rasional dan bijaksana, berpaksikan kepentingan negara dan menolak pendekatan populis semata-mata.
“Kelima, BERJASA menawarkan pemimpin bermaruah dan berprinsip, setia pada agama, bangsa dan negara yang dipilih berasaskan kualiti dan kewibawaan. Keenam, bangga dengan identiti watan yang kaya dengan sejarah, nilai dan budaya tempatan yang tersendiri, tanpa perlu tunduk kepada kefahaman dan budaya asing.
“Akhir sekali, ciri politik yang BERJASA tawarkan adalah mengamalkan tingkah laku beradab dan berakhlak mulia dalam usaha mencapai cita-cita politik,” katanya.
Ustaz Zamani menegaskan, BERJASA yakin serta percaya tujuh ciri politik ini bakal memberikan nafas baharu dalam landskap politik negara yang kini telah rosak dan mengalami defisit kepercayaan.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa BERJASA kini dalam proses rundingan bersama NGO-NGO dan parti-parti alternatif untuk membina sebuah jajaran baharu politik Malaysia.
Katanya, jajaran baharu ini akan membawa bersama harapan rakyat untuk sebuah negara yang unggul dan bermaruah menjelang PRU-15.
“Aspirasi jajaran baharu ini adalah untuk kali ini membawa rakyat bersama pimpin negara. Ini bermakna, untuk menghadapi PRU akan datang kita memerlukan sebuah kepimpinan baharu.
“Kami akan maklumkan perkembangan ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Selain itu, sebagai salah satu inisiatif dari BERJASA, Ustaz Zamani berkata, pihaknya juga akan melancarkan dokumen Belanjawan Alternatif BERJASA pada 27 Oktober 2021 iaitu dua hari sebelum pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat.
“Belanjawan BERJASA ini ditunjangi 7 teras utama merangkumi 100 cadangan. Dokumen Belanjawan BERJASA boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang BERJASA,” katanya.