Berita Utama

120 vendor jadi sasaran MEDAC

Syarikat 'anchor' yang berjaya akan bekerjasama beri bimbingan

BANGI, 11 Rabiulawal 1443H, Isnin – Sebanyak 120 vendor menjadi sasaran Kementerian Pembangunan dan Usahawan (MEDAC) – didaftarkan bawah enam syarikat ‘anchor’ baharu yang bekerjasama dalam Program Pembangunan Vendor (PPV).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, PPV bawah MEDAC merangkumi dua program utama iaitu Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV) dan Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV).

“Dengan adanya program seumpama ini, mampu memperkasa kapasiti dan keupayaan syarikat Vendor dalam membekalkan produk serta perkhidmatan yang bermutu tinggi dan kompetitif di pasaran.

“MEDAC boleh beri geran, namun perlu diakui bahawa kementerian ini tidak mampu memantau setiap perjalanan syarikat berkenaan.

“Jadi dengan adanya program PPV, syarikat ‘anchor’ yang sudah berjaya ini akan bekerjasama dengan MEDAC untuk beri bimbingan dan peluang kepada vendor bawah mereka,” katanya.

Terdahulu beliau hadir pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan PPV, hari ini.

Sehingga kini terdapat 24 syarikat vendor sudah memeterai perjanjian MoU dengan kementeriannya.

“Daripada jumlah itu sebanyak 1,200 syarikat vendor Bumiputera sudah didaftarkan serta berpeluang menikmati insentif yang disediakan.

“Kita juga minta syarikat ‘anchor’ untuk bersama kerajaan dalam membangunkan program bersesuaian dengan usahawan baharu yang mempunyai aspirasi dan kebolehan untuk menjadi syarikat pembekal atau ‘vendor’ kepada ‘anchor’,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru syarikat ‘vendor’ untuk meningkatkan prestasi dan keupayaan masing-masing tanpa mengharapkan bantuan daripada ‘anchor’ semata-mata.

“Ini kerana dalam keadaan mencabar, kita perlu mempunyai daya tahan yang tinggi, kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa serta berfikiran kreatif serta inovatif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button