Berita Utama

Kerajaan kaji undang-undang berkaitan lompat parti

Sedang meneliti model perundangan beberapa negara melibatkan peruntukan undang-udang lompat parti

 

KUALA LUMPUR, 11 Rabiulawal 1443H, Isnin  – Kerajaan sedang mengkaji undang-undang yang digunakan di peringkat negeri termasuk kes mahkamah yang berlaku di beberapa negeri melibatkan pelaksanaan perundangan berkaitan lompat parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain itu, kerajaan turut meneliti model perundangan beberapa negara seperti India, Singapura, New Zealand dan United Kingdom melibatkan peruntukan undang-udang lompat parti.

“Dapatan daripada kajian ini akan dibincangkan melalui sesi libat urus bipartisan,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara,  hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator N. Balasubramaniam yang ingin tahu sejauh mana kesediaan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti.

Wan Junaidi berkata, kerajaan komited untuk memastikan undang-undang berkaitan antilompat parti yang akan digubal dapat melindungi hak rakyat di negara ini yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

“Kerajaan akan memastikan sesi libat urus yang menyeluruh diadakan bersama pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta rakyat agar rang undang-undang baharu yang diperkenalkan mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas mengenai bentuk libat urus yang sedang dilakukan oleh kerajaan dengan pakar-pakar perundangan negara luar bagi memuktamadkan inti pati undang-undang antilompat parti, Wan Junaidi berkata setakat ini tiada keperluan untuk mengadakan libat urus dengan pakar perundangan luar negara.

“Saya cukup yakin pihak kementerian saya dan juga Peguam Negara mempunyai cukup kepakaran selain daripada peguam-peguam kita di seluruh negara, maka keperluan libat urus dengan pakar undang-undang luar negara tidak perlu dibuat.

“Bagaimanapun, kita menggunakan model undang-undang di negara-negara yang saya sebutkan tadi dan kita boleh melihat kelemahan dan kekuatannya serta menilai dari sudut perlembagaan kita sendiri dan kehendak rakyat kita mengenai jenis undang-undang yang perlu kita perkenalkan,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button