Berita Utama

Laporan separuh penggal SUHAKAM ke PBB ancam akidah umat, fitnah negara

Malang sekali SUHAKAM tidak guna kapasiti sebagai agensi rasmi kerajaan perjuang kes Allahyarham Adib

1. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) merujuk kepada Laporan Separuh Penggal SUHAKAM (Oktober 2021) yang diterbitkan melalui laman rasmi bagi Universal Periodic Review (UPR) yang antara program Pertubuhan-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations / UN).

2. Untuk pengetahuan kita semua, SUHAKAM merupakan wakil rasmi kerajaan ke UPR yang ditubuhkan melalui Akta 597 (Hak Asasi Manusia) di Parlimen Malaysia pada 1999. Ini bermakna, apa yang dibawa oleh SUHAKAM di pentas antarabangsa, merupakan pendirian kerajaan Malaysia.

3. Dalam laporan ini (2.3, muka surat 7-9), SUHAKAM menyatakan bahawa undang-undang syariah yang menghalang umat Islam daripada murtad adalah satu bentuk diskriminasi dan mencabul hak kebebasan beragama. Bagi kami, ini adalah suatu kenyataan yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana terdapat unsur-unsur menggugat sistem perundangan syariah yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri.

“In absence of any lawful exception and rational classification, SUHAKAM finds that the State apostasy laws in Malaysia are discriminatory and more likely to interfere with freedom of religion of Muslims.”

Ini bermakna mereka mendakwa, tiada negeri boleh halang langsung mana-mana muslim sekiranya mereka keluar agama Islam.

4. Rentetan kenyataan ini, atas semangat amar makruf nahi mungkar terutamanya sesama muslim, kami ingin mempersoalkan fungsi Pesuruhjaya-Pesuruhjaya muslim dalam SUHAKAM yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat kerajaan sepatutnya bertindak sebagai ‘safeguard’ kepada Islam, adalah seperti berikut:

i. Tan Sri Othman Bin Hashim
(Pengerusi SUHAKAM)

ii. Ustazah Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Binti Nik Salleh
(Naib Pengerusi SUHAKAM / Dekan Fakulti Undang-Undang & Syariah USIM)

iii. Dato’ Prof. Noor Aziah Binti Mohd Awal
(Pesuruhjaya SUHAKAM / Anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan / Tokoh Maal Hijrah 2016, 2017)

iv. Dato Seri Mohd Hishamudin Bin Md Yunus
(Pesuruhjaya SUHAKAM / Mantan Hakim Mahkamah Rayuan)

5. Selain itu, ini buat kali pertama SUHAKAM (Perkara 3.3, muka surat 13) secara rasminya menggunakan istilah yang merujuk kepada gender ketiga iaitu ‘non-binary’ yang bakal membuka pintu-pintu kemungkaran yang lebih besar, selain istilah LGBTQ+ secara berulang-ulang kali dalam laporan ini bagi membela hak golongan tersebut. Ini ditegaskan lagi dalam perenggan 4.5 dalam laporan tersebut :

“SUHAKAM reiterates that all human beings regardless of their sexual orientation, gender identity and expression shall enjoy a full range of human rights.”

6. Untuk pengetahuan anda, beberapa bulan yang lalu, SUHAKAM mengumumkan akan menjalankan kajian tentang pengabsahan dan pengiktirafan ‘gender ketiga’ secara legistlatif. Namun, kita tidak mendengar apa-apa arahan dari kerajaan untuk menghentikan kajian ini.

7. Selain itu, dalam laporan ini juga, SUHAKAM konsisten menekankan juga gesaan terhadap kerajaan agar meratifikasi konvensyen ICERD (1.1, muka surat 2) dan Statut Rom (1.2 muka surat 3) walaupun rakyat menolaknya.

“In November 2018, the Government backtracked on its commitment to accede to the International Convention on the Elimination of Racial Discrimination (ICERD). SUHAKAM reiterates its view that the function of ratifying international treaty is the Government’s commitment towards compliance within minimum international norms and domesticating the treaty into relevant local laws; which involves parliamentary processes, after ratification of any international treaty.”

“SUHAKAM reiterates its call for the Government to revisit its decision, as acceding to the Rome Statute will be an additional legal avenue to bring justice to all victims of human rights violations.”

8. PEMBELA sangat kesal dengan SUHAKAM yang sepatutnya membawa isu-isu pencabulan hak asasi yang lebih tepat dan ‘real’ seperti peristiwa-peristiwa Islamofobia yang berlaku sepanjang tahun ini seperti penderaan oleh majikan kerana berpuasa, penganaktirian sekolah-sekolah tahfiz oleh kerajaan berbanding sekolah vernakular, dan sebagainya yang jelas menunjukkan ‘double standard’ SUHAKAM.

9. Selain itu, malang sekali SUHAKAM tidak menggunakan kapasitinya sebagai agensi rasmi kerajaan ke pentas antarabangsa ini untuk memperjuangkan kes Allahyarham Adib yang merupakan isu hak asasi penjawat awam untuk berkhidmat dengan selamat dan terjamin kebajikannya tetapi lebih sibuk memperjuangkan kesongsangan seks.

10. Dahulu kita ada COMANGO yang merupakan gabungan NGO-NGO liberal yang menghantar laporan menyeleweng sebegini ke UPR, tetapi kini nampaknya SUHAKAM telah mengambil peranan tersebut. Lebih parah lagi, ianya berlaku dengan peruntukan kerajaan berpuluh-puluh juta setahun yang disalurkan kepada mereka.

11. PEMBELA menggesa sekali lagi agar kerajaan melalui Menteri Undang-Undang dan Menteri Luar Negeri untuk memandang serius akan laporan yang telah menconteng arang dan memfitnah negara di pentas antarabangsa ini.

12. Akhir sekali, PEMBELA ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia atas kejayaan diundi untuk terpilih menduduki salah satu dari kerusi terhad dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) sekali gus menafikan aduan-aduan domba dan fitnah-fitnah yang dijaja oleh SUHAKAM kononnya Malaysia adalah negara yang menindas dan mencabul hak asasi rakyatnya. Diharapkan Malaysia dapat menggunakan platform ini sebaik mungkin untuk menerangkan kerangka hak asasi manusia yang tidak menyeleweng.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
18 Oktober 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button