Berita Utama

Mufti Pulau Pinang gesa tukar jenama arak ‘Timah’

Demi memelihara suasana harmoni antara pelbagai kaum di negara ini

GEORGE TOWN,  11 Rabiulawal 1443H, Isnin –  Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan supaya mengarahkan sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan, untuk segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan, demi memelihara suasana harmoni di antara pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya amat kesal dengan sebuah iklan yang tular di media sosial beberapa hari lalu, yang menyatakan sejenis wiski buatan Malaysia diberi nama ‘Timah’ berserta paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman tersebut.

“Seperti yang sedia maklum bahawa bagi masyarakat Melayu, ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad S.A.W yang amat dihormati oleh umat Islam sama ada Sunni atau Syiah.

“Justeru, menjenamakan arak dengan ‘Timah’ dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, pengeluar wiski berkenaan perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu tersebut, agar tidak menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

“Kita tidak membantah arak diminum oleh orang bukan Islam, tetapi kita memohon pihak kerajaan Malaysia supaya mengarahkan syarikat pengeluar minuman itu segera menukar jenamanya berserta gambar di botol kepada nama dan gambar yang tidak menimbulkan sensitiviti umat Islam ,demi memelihara suasana harmoni pelbagai kaum di negara ini.

“Kita juga berharap agar para pemimpin politik tanah air terutamanya yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol tersebut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button