Berita Utama

Kadar kematian warga emas akibat COVID-19 semakin meningkat

Warga emas tiada dos penggalak berisiko tinggi meninggal dunia

BANGI, 15 Syaaban 1443H, Jumaat – Kadar kematian dalam kalangan warga emas yang dijangkiti COVID-19 semakin meningkat, terutamanya kumpulan usia 80 tahun dan ke atas.

Kadar kematian dalam lingkungan umur itu jauh lebih tinggi, berbanding dengan kumpulan warga emas yang berusia 60 hingga 79 tahun, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kadar kematian membabitkan pesakit COVID-19 yang berumur 80 tahun ke atas adalah 2,000 bagi setiap 100,000 penduduk negara ini, berbanding 300 hingga 600 kes bagi setiap 100,000 penduduk yang berusia 60 hingga 79 tahun.

“Ini kerana individu yang berumur 80 tahun ke atas ini mempunyai daya tahan tubuh yang rendah, menghidapi pelbagai penyakit kronik dan faktor ‘fraility’ menyebabkan proses penyembuhan dan pemulihan daripada jangkitan COVID-19 juga lebih perlahan dan rumit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, kadar kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas meningkat daripada 1.0 per 100,000 populasi kepada 9.0 per 100,000 populasi pada ME 10/2022.

“Kenaikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas ke hospital ini amat membimbangkan.

“Data jelas menunjukkan bahawa warga emas yang tiada vaksinasi atau tiada dos penggalak amat berisiko tinggi meninggal dunia akibat COVID-19,” katanya.

Beliau menjelaskan, daripada ME 1/2022 sehingga ME 10/2022, sebanyak 86,804 kes COVID-19 membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas dan daripada jumlah itu sejumlah 83,709 kes atau 96.44 peratus direkodkan berada dalam kategori satu dan dua.

“Selain itu 3,095 kes iaitu 3.56 peratus pula mengalami jangkitan COVID-19 kategori tiga hingga lima, ternyata peratusan bagi liputan vaksinasi yang tinggi dalam kalangan warga emas itu membantu mengurangkan kes COVID-19 dalam kategori serius.

“Justeru, liputan dos penggalak perlu dan boleh dipertingkatkan lagi daripada 74.2 peratus supaya golongan warga emas lebih terlindung daripada bahaya komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pengambilan dos penggalak itu perlu kerana tahap imuniti dalam badan terhadap virus SAR-CoV2 akan berkurang (waning immunity) selepas beberapa bulan individu berkenaan menerima vaksin.

“Begitu juga dengan tahap imuniti semula jadi (natural immunity) seseorang individu terhadap virus ini selepas dijangkiti virus SAR-CoV2.

Oleh itu, Dr Noor Hisham menasihatkan warga emas berkelayakan yang belum mendapatkan vaksin atau dos penggalak untuk segera mengambil pelalian berkenaan dengan kadar segera.

Beliau melihat pengambilan dos penggalak ini juga sebagai persediaan apabila negara memulakan fasa peralihan endemik yang dilaksanakan pada 1 April ini.

“Ketika itu sempadan akan negara dibuka, kedai makan boleh beroperasi sehingga lewat malam serta dan tiada lagi penjarakan fizikal satu meter untuk saf solat jemaah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button