Berita Utama

Guru enggan vaksin tanpa alasan kesihatan patutnya akur demi ekosistem pendidikan

Tangani kes mereka dengan berhemah, elakkan cetus rasa tekanan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Rabiulawal 1443H, Isnin – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menangani isu guru enggan menerima vaksin secara berhemah dan berhikmah.

Ia susulan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) memaklumkan, pihaknya menerima beberapa aduan bahawa golongan berkenaan diberikan tekanan dan diskrimasi daripada pihak pentadbiran dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berharap, guru-guru yang enggan menerima vaksin tanpa alasan kesihatan supaya akur untuk divaksin demi kemaslahatan ekosistem pendidikan dan sebagai penjawat awam perlu mengutamakan kepentingan negara dari kepentingan diri sendiri.

“iGuru yakin bahawa dialog, perundingan dan kaunseling adalah cara terbaik menangani isu ini dan pendekatan menekan adalah langkah terakhir setelah tiada jalan penyelesaian.

“Kita juga menggesa pihak KPM mengambil pendekatan berhemah, memujuk dan cara diplomsi untuk menangani guru-guru yang kelainan upaya.

“Elakkan mereka terasa diugut, didiskriminasi dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama beliau turut menggesa kumpulan guru yang menghadapi masalah kesihatan hendaklah ditangani secara harmoni dan negosiasi dengan penjelasan yang akhirnya boleh membawa kebaikan kepada semua pihak khususnya warga KPM.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan, kira-kira 2,000 guru di seluruh negara masih enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19, menurun berbanding 2,500 yang direkodkan setakat 5 Oktober lalu.

Beliau menegaskan, guru yang tiada vaksinasi tetap tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di sekolah yang dibuka semula untuk kemasukan fizikal.

Langkah itu penting kerana ia boleh memberi kesan besar terhadap ekosistem serta operasi sekolah, walaupun bilangan terbabit tidak ramai berbanding jumlah keseluruhan lebih 415,000 guru sedia ada.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button