Dunia

Hasrat Britain pindah kedutaan ke Jerusalem langgar perundangan antarabangsa

Akan jejaskan hubungan dengan Palestin dan negara Arab serta Islam

RAMALLAH, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye berkata pada Isnin bahawa hasrat Britain untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis “adalah melanggar undang-undang antarabangsa,” lapor Xinhua.

Memindahkan kedutaan British ke Baitulmaqdis “akan menjejaskan hubungan dua hala dengan Palestin dan negara Arab serta Islam, serta mengeluarkan Britain daripada sebarang usaha di peringkat antarabangsa untuk mencapai penyelesaian bagi menamatkan konflik di Palestin,” kata Ishtaye pada mesyuarat mingguan kabinet.

“Kerajaan Palestin menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss dan janjinya untuk menyemak kembali lokasi kedutaan Britain bagi tujuan pemindahan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“Sebarang perubahan dalam status quo di Baitulmaqdis akan menjejaskan penyelesaian dua negara,” kata Ishtaye.

Palestin mahu menubuhkan sebuah negara merdeka bersama Israel di wilayah yang diduduki Israel sejak 1967, termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, manakala Israel berkeras agar seluruh Baitulmaqdis dijadikan ibu negaranya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button