Berita Utama

PRN Melaka: Idris Haron belum buat keputusan

'Takkan tanding logo BN kerana sudah dibuang dari parti'

MELAKA, 11 Rabiulawal 1443H, Isnin – Bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyatakan belum membuat keputusan muktamad mengenai kerusi yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu sedang membuat pertimbangan pelbagai aspek sama ada mempertahankan kerusi Sungai Udang atau di lokasi lain.

“Saya belum pasti lagi kerusi yang akan ditandingi tetapi yang pasti ialah saya tidak akan bertanding di bawah logo BN kerana saya sudah kena buang daripada parti.

“Walau apa pun yang terjadi, lawan tetap lawan dan insya-Allah pengundi di negeri ini bijak membuat pilihan siapa yang akan menjadi pemimpin mereka,” katanya seperti dipetik portal Melaka Hari Ini.

Ditanya mengenai parti yang mungkin akan diwakilinya, beliau meminta semua bersabar dan akan mendedahkan tidak lama lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

“Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November,” katanya.

Beliau turut menganggarkan PRN Melaka memerlukan peruntukan sebanyak RM46 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button