Berita Utama

PRN Melaka tempat hukum wakil rakyat pentingkan diri

Buang ego demi rakyat jika tak mahu dihukum lebih perit

 

BANGI, 11 Rabiulawal 1443H, Isnin – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu menyuburkan proses demokrasi negara selain dijadikan tempat menghukum wakil rakyat yang pentingkan diri selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PRN juga diharap tidak mencemarkan sistem demokrasi seterusnya menghina rakyat dengan situasi ‘katak melompat-lompat’ seperti keadaan politik hari ini.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkatan semua parti politik tanpa mengira kecenderungan kepada kerajaan atau dipihak pembangkang, perlu dahulukan rakyat.

“Semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan menghindari diri daripada menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati parti lain

“Kita menyeru semua pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk kekal fokus dalam membendung wabak COVID-19 yang masih belum reda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Situasi politik perlu dikawal kerana sehingga kini negara berada dalam lingkungan 7,000-9,000 kes harian.

“Jadi, fikirlah keadaan rakyat yang kini tersepit dan terhimpit.

“Jangan ulangi kesilapan lalu ketika PRN Sabah yang menyebabkan gelombang ketiga COVID-19 di negara kita,” katanya.

Pada masa sama, Shahril turut berharap Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan hari ini mempunyai kesepakatan dan gabungan mantap untuk menang PRN Melaka.

Sejarah pernah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Contoh terdekat adalah enam daripada 15 kerusi yang dimenangi PH dalam PRU14 lalu yang sebenarnya kalah oleh gabungan undi jika digabungkan undi BN dan PAS (mungkin kini PN).

“Walaupun senario politik berubah sejak PRU14, namun strategi kekuatan gabungan dan muafakat adalah perkara tunjang dalam menentukan kemenangan,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak perlu bertindak matang dan fahami konsep kesamarataan dan muafakat antara parti-parti politik.

“Ketika ini ego perlu dilandaikan demi rakyat. Jika tidak, rakyat akan hukum sekali lagi dengan lebih perit. Ketika itu, mungkin tiada lagi kawan politik yang akan hulurkan tangan ketika mereka lemas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button