Berita Utama

SUHAKAM ‘conteng arang’ nama negara di pentas antarabangsa

Pesuruhjaya muslim patut bertindak sebagai 'safe guard' kepada Islam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Rabiulawal 1443H, Isnin – PEMBELA sekali lagi menggesa kerajaan memandang serius berkaitan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang menconteng arang dan menfitnah negara di pentas antarabangsa.

Ini susulan terdapat beberapa perkara dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) dikemukakan SUHAKAM kelihatan bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan apa yang diperjuangkan gabungan NGO-NGO Islam.

Difahamkan, SUHAKAM telah ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Ini bermakna apa sahaja yang dibawa oleh SUHAKAM di pentas antarabangsa merupakan pendirian Malaysia, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

Mengulas mengenai petikan SUHAKAM berkaitan hak kebebasan agama bagi umat Islam, beliau menyifatkan, ia sebagai kenyataan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana terdapat unsur-unsur menggugat undang-undang syariah dan undang-undang tubuh negeri-negeri.

Rentetan itu, atas semangat amar mahruf nahi mungkar terutamanya sesama muslim, PEMBELA mempersoalkan fungsi pesuruhjaya muslim dalam SUHAKAM yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat kerajan yang sepatutnya bertindak sebagai ‘safe guard’ kepada Islam.

Haji Aminuddin menegaskan, sepatutnya pihak berkenaan mempertahankan Islam dan mana-mana perkara yang mencemarkan agama itu seharusnya dibantah.

“Tetapi kita lihat seolah-olah mereka tidak memainkan peranan itu dan bagi kami ini agak mengecewakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan MUAFAKAT, hari ini.

Beliau turut mengkritik petikan SUHAKAM yang menggunakan istilah yang merujuk kepada gender ketiga iaitu ‘non binary’ yang bakal membuka pintu kemungkaran lebih besar selain istilah LBGTQ+ secara berulang kali dalam laporanya bagi membela hak golongan itu.

Selain itu, dalam laporan tersebut, SUHAKAM dilihat konsisten menekankan gesaan terhadap kerajaan dalam meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti dinyatakan pada muka surat dua.

Begitu juga mengenai Statut Rom pada halaman tiga laporan itu meskipun mendapat bantahan hebat daripada rakyat pada 2018.

Haji Aminuddin mendakwa, SUHAKAM seolah-olah memainkan peranan pihak tertentu untuk menggesa dan mendesak kerajaan meratifikasikan ICERD ini.

“PEMBELA sangat kesal dengan SUHAKAM yang sepatutnya membawa isu-isu pencabulan hak asasi yang lebih tepat dan ‘real’ seperti peristiwa Islamofobia yang berlaku sepanjang tahun ini.

“Seperti penderaan oleh majikan kerana berpuasa, penganaktirian sekolah tahfiz oleh kerajaan berbanding sekolah vernakular dan sebagainya yang jelas menunjukkan ‘double standard’ SUHAKAM.

“Malang sekali SUHAKAM tidak menggunakan kapasitinya sebagai agensi rasmi kerajaan ke pentas antarabangsa ini untuk memperjuangkan kes Allahyarham Adib yang merupakan kes hak asasi penjawat awam untuk berkhidmat dengan selamat dan terjamin kebajikannya tetapi lebih sibuk memperjuangkan hak kesongsangan seks,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button