Uncategorized

Ketat SOP PRN Melaka, semua kempen perlu guna media sosial

'Walau purata kes sudah turun, tidak boleh gunakan peluang berkenaan untuk merasakan keadaan selamat'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 12 Rabiulawal 1443H, Selasa – Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu dilaksanakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun tempoh ini bukanlah masa yang sesuai.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria berkata, perkara itu penting supaya kes tidak kembali memuncak sekali gus mengurangkan beban pasukan petugas barisan hadapan yang baru saja menarik nafas lega.

“SOP adalah aspek yang perlu diutamakan dalam PRN kali ini kerana kita tidak mahu kes kembali memuncak seperti berlaku di PRN Sabah suatu masa dahulu.

“Sepatutnya pemimpin lihat dari sudut keseluruhan dan selesai kemelut dalam keadaan tidak tergesa-gesa demi menjaga keselamatan dan nyawa rakyat.

“Namun dalam keterpaksaan, kami dalam pasukan petugas barisan hadapan tiada hak untuk menghalang pelaksanaan PRN tapi semua pihak perlu ambil tanggungjawab patuh SOP,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Norzaidi berkata, aktiviti kempen dibimbangi menjadi faktor utama kepada pertambahan kes.

“Walaupun purata kes sudah menurun kepada angka yang lebih rendah namun tidak boleh gunakan peluang berkenaan untuk merasakan keadaan selamat.

“Kita faham apabila apabila kempen semua akan sibuk dan menyebabkan ramai akan berkumpul di sesebuah tempat dalam tempoh yang lama, keadaan memberi peluang COVID-19 merebak,”ujarnya.

Sepatutnya, tempoh ini digunakan untuk bertenang untuk memberi peluang rakyat peluang untuk kembali meneruskan kehidupan selepas beberapa lama terkurung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru ditamatkan.

Dalam masa sama, beliau menyarankan supaya kempen diadakan secara atas talian bagi mengelak pertemuan secara bersemuka sekali gus mengurangkan kes merebak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button