Berita UtamaDunia

3 juta kanak-kanak Afghanistan terima vaksin polio bulan depan

UNICEF dan WHO akan mulakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah

KABUL, 12 Rabiulawal 1443H, Selasa – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan memulakan pemberian vaksin polio dari rumah ke rumah bulan depan, selepas mendapat kebenaran kerajaan baharu Taliban untuk menyokong kempen berkenaan secara besar-besaran.

UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyambut baik keputusan kepimpinan Taliban yang menyokong kempen pemberian vaksin polio di seluruh Afghanistan.

Wakil UNICEF di Afghanistan, Hervé Ludovic De Lys berkata, kempen berkenaan akan dimulakan pada 8 November depan serta disasarkan kepada kira-kira tiga juta kanak-kanak di kawasan terpencil dan mereka yang belum pernah mendapat suntikan.

“Kebenaran daripada pihak kerajaan akan memungkinkan kita membuat kempen secara besar-besaran dalam usaha membasmi polio di negara ini.

“Bagi menghilangkan polio sepenuhnya, setiap kanak-kanak di setiap rumah perlu diberikan suntikan,” katanya dalam kenyataan.

Afghanistan dan negara jiran, Pakistan merupakan negara terakhir di dunia yang berdepan endemik polio, penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan mudah merebak sehingga boleh menyebabkan masalah kelumpuhan dalam kalangan kanak-kanak.

Awal tahun ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjaya mengesan satu kes baharu melibatkan polio di negara bergolak ini sekali gus memberi peluang besar untuk WHO membasmi kes berkenaan.

“Memulakan semula vaksin sekarang sangat penting supaya dapat cegah polio yang signifikan di negara ini sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan,” katanya lagi.

Selepas ini kempen sama akan dilakukan di Pakistan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak daripada berdepan masalah kelumpuhan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button