Berita UtamaDunia

75 peratus penduduk UAE tiada simpanan hari tua

Kebanyakan suka berbelanja terlebih dahulu dan tidak menabung

ABU DHABI, 12 Rabiulawal 1443H, Selasa – Sebilangan besar ekspatriat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal menyimpan wang yang cukup untuk persaraan mereka.

Malah, pakar kewangan berkata, kebanyakan mereka langsung tidak menabung untuk hari tua.

Pengarah Urusan di Finsbury Associates, Hannah Greenwood berkata, kebanyakan ekspatriat hanya bergantung pada pembayaran wang sagu hati di akhir perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, wang itu selalunya tidak cukup untuk membiayai persaraan.

Greenwood berkata, berdasarkan satu kajian baru-baru ini yang dilakukan oleh bank HSBC, didapati bahawa 75 peratus penduduk UAE tidak menyimpan apa-apa untuk persaraan mereka.

“Di sini, di UAE, majoriti tidak mempunyai akses ke rancangan simpanan di tempat kerja dan sebaliknya menerima sagu hati pada akhir perkhidmatan mereka.  

“Namun, pembayaran sagu hati ini biasanya tidak mencukupi untuk membiayai persaraan seseorang.

“Sebagai contoh, pembayaran sagu hati maksimum di UAE adalah dua tahun gaji pokok dan seorang pekerja perlu bekerja dengan syarikat yang sama selama 26 tahun untuk menerima jumlah maksimum itu,” jelasnya.

Tidak seperti negara lain, UAE tidak mempunyai rancangan simpanan tempat kerja wajib.  

Pekerja sering kali gagal menabung sendiri, sebaliknya menggunakan pendekatan berbelanja terlebih dahulu dan tidak menabung, kata Greenwood.

“Kita dapat melihat bahawa mereka yang mempunyai simpanan di tempat kerja menjadi orang yang pada akhirnya menabung lebih banyak,” katanya.

Apabila ditanya bila titik permulaan untuk menabung, Greenwood dengan ringkas berkata: “Semakin cepat semakin baik.” – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button