Berita Utama

Arak ‘Timah’: Jenama, logo kelirukan, minta disemak kembali – PAS

Tuduh PAS ada kaitan dengan pengeluar arak hanya ‘alat’ calar kredibiliti parti

 

BANGI, 12 Rabiulawal 1443H, Selasa – PAS menyifatkan tuduhan mempunyai hubung kait dengan pengeluar arak jenama tempatan, Timah hanya sebagai ‘alat’ untuk mencalar kredibiliti parti berkenaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara tegas menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia jelas bercanggah prinsip asas perjuangan PAS, menentang sebarang perbuatan mungkar.

“Sebenarnya ia bukanlah isu besar, melainkan ia hanya tak ada modal lain hendak serang PAS.

“Soal jenama dan logo yang boleh mengelirukan, PAS konsisten meminta perkara ini disemak kembali.

“Nama Timah, bukan nama Islam dan bukan nama manusia, ia seumpama nama jenis logam, dan lebih jelas pula apabila logo arak itu gambar seorang lelaki. Tiada lelaki nama Timah,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menegaskan, apa jua jenama arak dan logo tidak akan mengubah nilai arak, kerana arak tetap haram di sisi Islam.

“Bahkan dalam hadis Rasulullah SAW, baginda menjelaskan antara tanda akhir zaman, arak tidak lagi berjenama arak yang diketahui umum,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS tetap konsisten meminta kerajaan menyemak semula penggunaan jenama serta logo minuman keras tersebut yang mengelirukan masyarakat.

Malah, katanya, menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk menentang kemungkaran, bukan hanya tanggungjawab PAS sahaja.

“Adalah lebih baik kita didik masyarakat Islam menjauhi arak walau apa jenama sekalipun, tetapi hak dan kehendak bukan Islam untuk meminumnya juga perlu dilihat,” jelas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button