Azerbaijan dakwa Armenia letak periuk api di wilayahnya
Armenia enggan kongsi peta periuk api lengkap untuk operasi pembersihan

BAKU, 12 Rabiulawal 1443H, Selasa – Azerbaijan mengajukan kepada mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mendakwa Armenia meletakkan periuk api di Nagorno-Karabakh sebagai sebahagian daripada kempen ‘pembersihan etnik’.
Wakil Menteri Luar Azerbaijan, Elnur Mammadov meminta agar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memerintahkan Armenia menghentikan peletakan periuk api, memberikan peta periuk api kepada Azerbaijan dan mengambil langkah-langkah untuk menghentikan hasutan kebencian antara kaum.
“Kempen pembersihan etnik dan hasutan keganasan terhadap Azerbaijan di Armenia sedang berlangsung.
“Langkah-langkah sementara sangat diperlukan untuk mencegah bahaya mendatang,” kata Mammadov kepada mahkamah yang berpusat di Hague, semalam.
Dua bekas republik Soviet itu bertempur selama enam minggu pada musim luruh lalu di wilayah Nagorno-Karabakh dalam konflik yang meragut lebih daripada 6,500 nyawa.
Pertempuran berakhir ketika Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan menandatangani perjanjian gencatan senjata yang memberi Azerbaijan kawalan ke atas beberapa bahagian Nagorno-Karabakh, serta wilayah-wilayah yang berdekatan yang diduduki oleh orang Armenia.
Mammadov mengatakan bahawa setelah ‘pembebasan’ sebahagian wilayah tahun lalu, penduduk Azerbaijan yang kembali ke rumah mereka mendapati kawasan itu telah diletakkan dengan periuk api oleh Armenia.
“Armenia hingga kini masih enggan berkongsi peta periuk api yang lengkap dan tepat yang diperlukan untuk meneruskan operasi pembersihan, dan bahkan terus menanam periuk api baharu di wilayah Azerbaijan.
“Ini hanyalah kesinambungan dari kempen pembersihan etnik selama beberapa dekad oleh Armenia dan percubaan untuk memastikan wilayah ini tiada warga Azerbaijan,” katanya.
Menurut angka yang diperoleh timbalan menteri luar negeri, sekurang-kurangnya 106 orang Azerbaijan termasuk 65 orang awam telah terbunuh atau cedera kerana periuk api sejak akhir konflik tahun lalu. – Agensi