Berita Utama

SUHAKAM tak relevan untuk Malaysia

Kerap kali langgar budaya Timur, tak faham atau buat-buat tak faham?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Rabiulawal 1443H, Selasa – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang ditubuhkan oleh Parlimen sepatutnya memahami adab negara ini dan menghormati unsur ketimuran rakyat Malaysia, kata Naib Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual.

Beliau berkata, tindakan SUHAKAM yang kerap kali melanggar budaya ketimuran, pada masa sama mempromosikan golongan songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bahkan jantina ketiga amat tidak dapat diterima rakyat negara ini. 

Pun begitu, agenda songsang itu terus menerus diperjuangkan SUHAKAM mengikut kiblat Barat walhal tiada langsung mana-mana agama di negara ini yang membenarkan nafsu songsang LGBT, tegas Soufi.

“Apakah benar SUHAKAM tak faham, atau buat-buat tak faham. Jika dilakukan dengan niat untuk mengiktiraf golongan songsang ini, maka SUHAKAM sama sekali tidak relevan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Soufi menegaskan, kerajaan sudah tidak sepatutnya memberikan peruntukan jutaan ringgit kepada agensi berkenaan yang cenderung membawa agenda Barat.

“Rakyat resah dengan penyebaran dakyah puak LGBT kerana agenda mereka ini merosakkan tamadun manusia.

“LGBT wajib dikekang habis-habisan,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa terdapat beberapa perkara dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) dikemukakan SUHAKAM kelihatan bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan apa yang diperjuangkan gabungan NGO-NGO Islam.

Ia termasuk memperjuangkan hak kebebasan agama bagi umat Islam. 

SUHAKAM juga dalam laporannya menggunakan istilah yang merujuk kepada jantina ketiga iaitu ‘non binary’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button