Berita Utama

Konsep pembinaan negara bangsa tak akan bawa Malaysia ke mana-mana

ISMA mengagaskan Orde Baru Islam 2121, bawa Malaysia jadi negara peradaban

BANGI, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpandangan bahawa konsep pembinaan negara bangsa yang ‘ingin’ dicapai sejak sekian lama oleh pemimpin sebelum ini, adalah sesuatu yang kabur. 

EXCO Hubungan Luar Pemuda ISMA, Luqman Abd Hamid menjelaskan, konsep itu adalah sebuah kerangka atau ‘grand design’ yang ditinggalkan penjajah dalam menjayakan agenda kuasa besar selepas perang dunia kedua. 

“Akibat daripada gerakan perang dunia kedua, melalui Marshall Plan, Amerika Syarikat (AS) cuba untuk mendapat hasil bumi daripada negara-negara yang dijajah oleh kolonialis yang lain, negara-negara ini dimerdekakan dan diwujudkan satu konsep negara bangsa (nation state). Ini menyebabkan kita terperangkap dalam konsep itu.

“Sedangkan konsep sebenar yang patut kita bawa adalah peradaban. Negara peradaban. Bahkan China pun tidak gambarkan dirinya sebagai negara bangsa, tapi dia anggap dirinya sebagai ecological civilization (peradaban ekologi). 

“Akibat kita terlalu lama terperangkap dalam konsep negara bangsa ni, kita tiada hala tuju yang jelas, kita terperangkap dalam hala tuju itu sahaja. Keadaan ini menyebabkan agenda Islam tidak dapat ke mana-mana, we have been misguided for too long,” katanya dalam Forum Generasi Baru Gerakan Islam: Pembinaan Negara Bangsa yang dianjurkan ABIM Selangor, malam tadi.

Sebagai bukti, Luqman berkata, meskipun berlaku pertukaran kerajaan sekalipun ia sama sekali tidak membawa perubahan, malah krisis rasuah tetap melatari setiap parti politik. 

“Ahli politik menjadikan politik sebagai kerjaya lalu mengetepikan kepentingan rakyat, sebaliknya mengangkat agenda kapitalis yang berfungsi sebagai ‘paymaster’.

“Krisis demi krisis yang berlaku menyebabkan kita tidak lagi boleh bermain di padang permainan ini. Kita perlu mencipta padang yang baru,” tegasnya.

Oleh yang demikian, ISMA mengagaskan Orde Baru Islam 2121, kata Luqman.

Beliau menegaskan, ia merupakan sebuah misi kepimpinan bagi mendaulatkan Islam dalam jangka masa 100 tahun. 

“Negara ini tidak seharusnya terikat dalam kerangka negara bangsa, untuk mendaulatkan Islam ia perlu pergi ke level seterusnya iaitu negara peradaban. 

“Ini adalah kerana kefahaman kita mengenai Melayu itu sendiri bukan sekadar lingkungan etnik, tetapi ia adalah sebuah konsep kepimpinan dan peradaban seperti mana telah ditunjukkan oleh Empayar Melayu Melaka, Empayar Acheh dan Empayar Johor-Riau,” katanya.

Menjelaskan idea tersebut, Luqman berkata, untuk berganjak daripada negara bangsa kepada negara peradaban, ia memerlukan set pemikiran baharu yang didirikan melalui tiga prinsip iaitu kebenaran (truth), keadilan (justice) dan kebertanggungjawaban (responsibility).

Melalui elemen ini, ISMA berharap dapat melahirkan sebuah peradaban tauhid bagi mengimbang kemaraan kuasa dunia seperti China menerusi pendekatan peradaban ekologi yang diuar-uarkan oleh Presiden, Xi Jin Ping. 

“Peradaban ini juga mestilah mampu melawan pendekatan kapitalisme yang melahirkan soulless man yang akhirnya menjadi hamba duit dan industri,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman menegaskan, konsep ini tetap mengiktiraf hak bukan Islam seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“ISMA tidak mempraktiskan kefahaman perkauman sempit seperti mana tuduhan yang dilemparkan oleh media ke atas kami. 

“Di samping itu, ISMA juga mengiktiraf kedudukan orang Melayu dalam Perlembagaan seperti mana dalam Perkara 153 dan perkara lain-lain berkenaan nilai teras negara seperti agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan orang Melayu itu sendiri. 

“Ini adalah nilai teras, dasar kebudayaan negara yang tidak boleh diganggu gugat,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Pemuda ISMA memilih untuk berdiri teguh bahawa negara ini harus berganjak kepada negara peradaban. 

“Kami jelas akan matlamat dan hala tuju kami, kami juga dengan senang hati mengajak anda semua bersama kami dalam mendaulatkan Islam.

“Pemuda ISMA menyeru pemuda gerakan lain agar merenung dan melakukan refleksi akan sejarah dan masa hadapan agenda Islam. 

“Adakah kita mahu hasil yang sama setelah bertahun-tahun melaksanakan agenda Islam atau kita mahukan kejayaan yang jelas dan nyata?,” soalnya.

Pemuda ISMA juga, tegasnya, menyeru gerakan lain agar berwaspada akan penjajahan bentuk baru seperti One Belt One Road (OBOR) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang bakal mengugat kedaulatan negara seperti Perjanjian Pangkor. 

“Ini memberi kita sebuah indikator bahawa kita amat memerlukan satu sama lain sekarang dan di masa hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button