Berita Utama

Landskap Persekutuan Malaysia dijangka berubah selepas RUU baharu dibentang

Sabar nantikan perubahan progresif perkasakan hak Sabah, Sarawak

BANGI, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Landskap Persekutuan Malaysia dijangka berubah selepas kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang baharu bagi mengembalikan hak sama rata kepada Sabah dan Sarawak.

Perkara itu disuarakan Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mahu semua pemimpin bersatu hati dengan mengetepikan sentimen politik dalam menjayakan usaha berkenaan.

“Kita nantikan dengan sabar perubahan progresif yang boleh memperkasakan hak Sabah dan Sarawak.

“Besar harapan kita agar pemimpin bermuafakat dan ketepikan sentimen politik dalam perkara ini.

“Ini kerana perubahan ini penting untuk tetapkan halatuju kita dalam Malaysia sebagai rakan kongsi bersama,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju melaksanakan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat MKMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kelmarin.

Cadangan pindaan itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga mengetuai Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu MKMA63.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button