Berita Utama

MTEM syor kerajaan tambah baik Urus, lanjut moratorium 6 bulan

Kerajaan boleh tawar Moratorium Bersasar Tanpa Faedah dengan hadkan jenis nilai pinjaman

BANGI, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyambut baik pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Turut mengucapkan tahniah atas pengumuman itu, Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin meraikan usaha kerajaan serta sokongan pembangkang menyahut dan mendengar desakan rakyat yang menginginkan sedikit keprihatinan dengan pemberian moratorium tanpa faedah selama tiga bulan kepada B50 yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berpandangan bahawa ia belum cukup untuk memulihkan keadaan ekonomi yang sangat terkesan. 

Ini kerana, katanya, bantuan tiga bulan yang diberikan terlalu singkat berbanding dengan tempoh pandemik yang berpanjangan selama dua tahun.

“Bantuan ini tidak membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjana hampir 900,000 pekerja di dalam negara, dan menggaji lebih 80 peratus pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Abdul Halim mencadangkan kepada kerajaan untuk melakukan penambahbaikan berdasarkan libat Urus bersama PMKS dan bukan di kalangan Ahli Parlimen sahaja. 

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah penambahan tempoh moratorium selama tiga bulan bagi golongan B50, sekali gus menjadikan tempohnya berlanjutan selama enam bulan.

“50 peratus PMKS terbawah perlu juga diberi moratorium yang serupa kerana mereka yang menjana pekerjaan.

“Kerajaan boleh menawarkan Moratorium Bersasar Tanpa Faedah dengan menghadkan jenis nilai pinjaman iaitu Pinjaman Modal Pusingan di bawah RM1,000,00 Pinjaman Kenderaan di bawah RM150,000, Pinjaman untuk Premis Perniagaan di bawah RM1,500,000 dan Urus juga perlu merangkumi pinjaman-pinjaman yang diberi oleh syarikat kredit dan pemberi pinjaman berlesen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga boleh melaksanakam satu dana pusingan khusus buat PMKS dan perniagaan yang belum disenaraikan, khas untuk 500 usahawan Bumiputera yang terbukti kewibawaan mereka.

“Sekiranya kerajaan boleh memberi dana jamin sebanyak RM500 juta kepada syarikat penerbangan AirAsia, tiada alasan kerajaan untuk tidak membantu sekurang-kurangnya 500 usahawan PMKS dengan jumlah dana yang sama. Persatuan bank juga telah menyediakan dana sebanyak RM1 bilion.

“Kerajaan perlu mengamati hakikat bahawa dengan adanya penangguhan bayaran, aliran tunai akan jadi lebih baik kepada bank dan institusi kewangan, rakyat akan lebih berbelanja di dalam negara sekali gus membantu pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button