Berita Utama

Pasukan khas ditubuh perhalusi cadangan akta 3R

Bukan hanya fokus aspek jenayah, tetapi juga kaunseling dan pendidikan

KLANG, 29 Zulhijjah 1444H, Selasa – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menangani pihak yang sengaja mencetuskan provokasi melampau dan kebencian rakyat mengenai isu tersebut.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

“Jika kita lihat contoh negara lain, ia tidak hanya memfokuskan aspek jenayah tetapi juga penekanan mengenai kaunseling dan pendidikan. Memang ia di bawah Kementerian Perpaduan, namun saya hanya melihat kepada aspek undang-undang.

“Jadi, menerusi pasukan khas itu, kita akan membincangkan kepada Kabinet dari segi pandangan sama ada undang-undang sudah mencukupi atau perlu akta baharu yang perlu dikaji,” katanya seperti dilapor Kosmo. 

Azalina berkata, cadangan itu kini masih di peringkat perbincangan dan pihaknya mahu mendengar pandangan daripada semua pihak terlibat.

“Kita boleh bercakap apa-apa dan kebebasan bersuara tetapi jangan berniat sehingga menimbulkan provokasi dan kebencian. Negara ini masih mempunyai peruntukan undang-undang jenayah seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil.

Akta yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa itu mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan mengenainya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.

Ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button