Berita UtamaDunia

Penculik 400 Mawozo tuntut wang tebusan AS$1 juta

Mangsa diculik ketika berada di sempadan Haiti dan Dominika

PORT-AU-PRINCE, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Kumpulan penculik, 400 Mawozo di Haiti yang menculik sekumpulan 17 mubaligh warga Amerika Syarikat (AS) dan Kanada termasuk lima kanak-kanak menuntut wang tebusan AS$1 juta (RM4.171 juta) bagi setiap tebusan.

Kumpulan mubaligh yang bekerja untuk ‘Christian Aid Ministries’ yang berpusat di AS dikatakan menjadi mangsa penculikan ketika pulang dari mengunjungi rumah anak yatim, yang terletak di antara ibu kota Haiti dan sempadan dengan Republik Dominika.

Organisasi itu berkata, mereka yang diculik ialah lima lelaki, tujuh wanita yang berusia 18 hingga 48 tahun manakala lima kanak-kanak yang berusia lapan bulan, 3, 6,13 dan15 tahun turut menjadi mangsa penculikan.

April lalu, kira-kira 10 orang termasuk dua ulama Perancis diculik dan ditahan selama 20 hari oleh kumpulan penculik 400 Mawozo di wilayah yang sama.

Malah, Ogos lalu, kerajaan AS mengeluarkan amaran merah terhadap Haiti, menggesa orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan ke negara Caribbean itu kerana penculikan, jenayah dan rusuhan yang berleluasa.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Haiti, Liszt Quitel mengesahkan penculik berkenaan meminta wang tebusan selepas mengawal kawasan berkenaan selama berbulan-bulan.

“Penculik yang meminta wang tebusan tinggi kebiasaannya akan mengurangkan jumlahnya ketika rundingan, namun pegawainya tidak terbabit dalam rundingan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, AS berikrar untuk membebaskan mubaligh AS dan Kanada yang diculik.

Blinken berkata, Jabatan Negara turut berhubung dengan kerajaan Haiti berhubung penculikan.

“Pentadbiran kami memfokuskan perkara ini tanpa henti dan akan melakukan segala yang mampu untuk membantu menyelesaikan kes penculikan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button