Berita Utama

PRN Melaka jadi medan percubaan PRU15

Kerajaan perlu tetapkan daftar pemilih merujuk lokasi bermastautin

BANGI, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi kayu pengukur kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Keseluruhan proses itu pasti akan menjadi medan percubaan atau contoh kepada persiapan PRU15 – kerana COVID-19 akan terus menjadi endemik yang akan sentiasa memerlukan usaha kita dalam menanganinya.

Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr Al Amin Mohamed Sultan berkata, PRN Melaka sepatutnya berlangsung tanpa membabitkan kempen pihak luar tanpa kawalan dan ini memerlukan kepada satu prosedur operasi standard (SOP) yang khusus.

“Adalah mustahil untuk mengelak kehadiran pemimpin besar parti politik yang bertanding dan jentera mereka dalam keadaan ‘lampu hijau’ sudah diberi untuk pergerakan rentas negeri dan daerah.

“Namun, ia boleh dikawal dan diselia dengan baik menerusi kempen kreatif dalam talian, penggunaan media sosial, saluran radio dan televisyen serta lain-lain boleh digunakan dengan baik,” katanya seperti dilapor portal tempatan, hari ini.

Dr Al Amin menambah, sistem dan saluran pengundian dengan SOP jelas akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk hadir menjalankan tanggungjawab mereka.

“Ini penting supaya tidak muncul kempen memboikot pilihan raya disebabkan rasa bimbang akan keselamatan diri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kerajaan perlu menetapkan daftar pemilih merujuk lokasi seseorang bermastautin.

“Seseorang warganegara yang layak mengundi, sepatutnya hanya dibenarkan mengundi di kawasan tempat tinggal mereka yang terkini, bukannya di alamat kampung ataupun lokaliti sementara lain,” katanya.

Tegas beliau, aktiviti rentas negeri untuk mengundi dilihat tidak membawa suara sebenar pengundi yang bermastautin atau menetap di satu-satu kawasan.

“Bagaimana pengundi luar kawasan yang hanya pulang sekali dua dalam setahun, memilih untuk mengundi di kawasan tertentu, mampu secara konsisten mendesak kepada perubahan diperlukan masyarakat setempat?

“Dengan tinggal di tempat berbeza, ia akan menjadikan keperluan dan kehendak satu-satu kawasan berbeza dengan apa yang mungkin difikirkan pengundi yang hanya pulang sekali-sekala,” sambil menjelaskan keadaan tersebut tidak patut lagi berlaku di negara ini.

Justeru katanya, biarkan rakyat yang menetap di satu-satu kawasan itu memilih pemimpin lokaliti mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button