Berita Utama

Sultan Johor kesal sikap masyarakat buang sampah dalam saliran air

Banjir kilat yang melanda bulan lepas berpunca sistem saliran tersumbat

JOHOR BAHRU, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekesalan baginda dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutamanya pada musim hujan di kawasan bandar raya Johor Bahru.

Baginda bertitah hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat yang melanda kawasan bandar raya bulan lepas berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBJB dipersembahkan kepada Sultan Johor oleh Datuk Bandar MBJB Datuk Noorazam Osman di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru baru-baru ini.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan,” titah baginda menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai kerana perbuatan seperti itu kelak menyumbang kepada berlakunya banjir.

Sebelum ini, Sultan Johor ada menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sementara itu, Noorazam berkata bahawa pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.

“MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Sikap segelintir rakyat kita amat dikesali.

“Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi hotspot (kerap) banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir,” kata Noorazam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button