Berita Utama

Undi 18: Jangan perkuda suara anak muda demi kepentingan peribadi

Didik mereka jadi pemimpin, fahami agenda pembangunan negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Pendedahan terhadap golongan muda kepada pembangunan negara diharap bukan sekadar umpan politik semata-mata, sebaliknya bertujuan untuk mendidik mereka selaku pelapis masa hadapan negara.

Pandangan itu disuarakan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim yang tidak mahu pelaksanaan Undi 18 sekadar untuk mengaburi mata masyarakat.

“Tindakan mengalukan golongan muda untuk menyertai dalam pembangunan negara adalah sesuatu yang bagus, tapi kita bimbang itu hanya untuk meramaikan penyertaan sahaja dan bukannya sebagai pelapis negara.

“Seharusnya kita didik mereka ke jalan yang betul, tunjuk mereka bagaimana menjadi pemimpin serta didik untuk fahami agenda yang sebenar dalam membentuk pembangunan negara.

“Kita tidak mahu pemimpin hari ini perkuda suara orang muda ini demi kepentingan peribadi pemimpin yang lama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan ingin memberikan kuasa yang besar kepada anak muda di negara ini, justeru itu kerajaan memberi taruhan kepada Undi 18.

Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 itu membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses pembangunan negara.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, sudah tiba masanya orang muda yang berketerampilan didedahkan dengan suasana politik sebenar supaya dapat memahaminya dengan lebih dekat.

“Ayuh kita mulakan dari sekarang supaya mereka ini didedahkan dengan perjuangan yang telus dan ikhlas, dan bukannya berjuang untuk kepentingan peribadi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa supaya pemimpin yang memegang kawasan lebih daripada tiga penggal bersedia memberi peluang kepada golongan muda sebagai pengganti.

“Tapi sayangnya tidak ramai yang sanggup lepaskan jawatan dan beri peluang kepada anak muda yang memiliki idea yang kreatif,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button