Berita Utama

Wajar lucut kewarganegaraan pengeluar arak ‘Timah’

Kurang ajar meski sudah bertahun-tahun bina kekayaan di Malaysia

BANGI, 13 Rabiulawal 1443H, Rabu – Pengusaha arak jenama ‘Timah’ yang seolah tidak mempeduli sensitiviti masyarakat Islam sekali gus memberikan imej buruk perlu dilucut kewarganegaraan.

Pandangan itu disuarakan Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai memprovokasi sentimen umat Islam di negara ini.

“Saya secara peribadi merasakan pemilik syarikat dan jenama arak itu layak dilucutkan kerakyatan.

“Penjenamaan memerlukan satu proses yang panjang, lebih-lebih lagi jika ia merupakan sebuah industri yang memerlukan modal yang besar dan mahu meraih keuntungan yang besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengeluaran sejenis wiski buatan Malaysia diberi nama ‘Timah’ yang tular di media sosial.

Keadaan itu menyebabkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan mengarahkan syarikat terbabit segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan, demi memelihara suasana harmoni di antara pelbagai kaum di negara ini.

Bagi masyarakat Melayu, ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam.

Mengulas lanjut, Ustaz Syamil berkata, polemik yang timbul ini seolah sengaja dilakukan untuk memberi kontroversi terhadap penggunaan jenama yang biasa dengan masyarakat Melayu muslim.

“Pasti setiap sudut dalam produk itu diambil kira dengan begitu teliti dan penuh cermat.

“Ini bermakna setelah melalui proses yang begitu panjang dan teliti, mereka tetap tidak dapat mencerap senstiviti umat Islam setempat, yang lebih menunjukkan mereka sengaja memilih nama yang sangat dekat dengan umat Islam itu sendiri,” katanya.

Malah, tindakan pengusaha minuman keras berkenaan dilihat sengaja melakukan penghinaan, kurang ajar, dan biadab walaupun sudah bertahun-tahun membina kekayaan di Malaysia.

“Tetapi masih tidak faham-faham apa yang sepatutnya mereka lakukan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pengurusan pengeluar arak jenama Timah mengeluarkan kenyataan di Facebook kononnya terdapat beberapa maklumat yang salah tersebar.

“Timah adalah perkataan tempatan yang bermaksud ‘Timah’ dan jenama Timah Whiskey diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman British Malaya.

“Gambar ikon di botol pula adalah Kapten Speedy yang merupakan salah seorang lelaki yang memperkenalkan budaya whiskey ketika zaman tersebut.

“Oleh kerana sejarah tersebut, kami menggunakan nama TIMAH dan kami tidak bermaksud untuk mencetuskan sebarang kontroversi serta sebarang tafsiran berhubung nama jenama kami yang tidak berkaitan dengan perlombongan bijih timah Malaysia adalah palsu,” kata.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button