Berita Utama

Pilih pemimpin boleh bela nasib ummah, negara

Jangan pilih hanya sebab lambang meskipun tak layak

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Memilih seorang pemimpin tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, harus diteliti dengan tepat kerana individu itu mempunyai tanggungjawab besar membawa suara rakyat dan menentukan hala tuju negara mengikut neraca Islam.

Bagi calon Pejuang di Parlimen Bangi, Ustaz Annuar Salleh, terdapat tiga aspek penting yang boleh dinilai untuk membolehkan seseorang itu diangkat menjadi pemimpin yang tepat.

Pertamanya, hubungan dengan Allah adalah perkara asas untuk individu tersebut diangkat sebagai pemimpin.

Selain itu, individu berkenaan haruslah bersedia untuk berkorban demi kepentingan ummah serta seorang yang amanah dengan harta.

“Ini adalah asas penting seperti yang dilakukan Khalifah Umar dalam memilih seorang pemimpin dan menjadi kewajipan kepada kita menjadikannya sebagai panduan.

“Ini juga cara Islam pilih pemimpin, kita tak nak masyarakat hari ini pilih kerana lambang walaupun tidak layak tetapi disebabkan dia ahli kumpulan kita, jadi kita pilih dia.

“Perbuatan tersebut dilarang dalam Islam kerana pemilihan pemimpin ini dibuat untuk mewakili ummah dan membela nasib rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kupasan isu semasa yang bertajuk Kepimpinan Islam: Bagaimana Saidina Umar memilih pemimpin, yang disiar melalui Facebook, malam ini.

Malah tegas Ustaz Annuar, seseorang itu akan dianggap sebagai mengkhianati Allah dan Rasul apabila tidak membuat pilihan yang tepat sedangkan ada individu lain yang lebih layak untuk diangkat.

Situasi tersebut berbeza dengan mereka yang berfikiran sekular dan liberal – kerana tidak tidak mementingkan asas berkenaan dalam membuat pemilihan pemimpin.

Golongan ini biasanya tidak mementingkan keperluan tersebut malah sanggup memilih pemimpin yang terdiri daripada bukan Islam, fasik atau pemimpin zalim untuk diangkat sebagai pemimpin.

“Berbeza kita orang Islam yang pasti nak bersyahadah di hadapan Allah kerana tidak mahu masuk dalam kalangan dilaknat apabila melantik individu tidak layak sebagai pemimpin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button