Berita Utama

Malaysia pertimbang sertai projek pembangunan semula di Afghanistan

Kerajaan umum sumbangan RM415,959 disalurkan melalui OCHA

BANGI, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Malaysia membuat pertimbangan untuk terbabit dalam projek pembangunan semula di Afghanistan.

Antaranya dalam sektor ekonomi digital, industri halal serta pendidikan, pembangunan dan pengurusan lapangan terbang, pembangunan dan perancangan bandar dan perkhidmatan perbankan Islam dan takaful.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, usaha berkenaan mungkin boleh dilaksanakan secara terus dengan pihak tertentu di negara terbabit atau menerusi kerjasama dengan negara-negara ketiga.

“Kerajaan sedang meninjau peluang kerjasama dengan beberapa negara dalam projek pembangunan semula Afghanistan.

Jalinan kerjasama ini termasuk dalam bidang fizikal seperti infrastruktur dan bina upaya bagi rakyat Afghanistan.

“Sebagai contoh, sebuah syarikat dari Malaysia sedang mengadakan perbincangan untuk menguruskan lapangan terbang antarabangsa Hamid Karzai di Kabul,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Buat masa ini Menteri Luar juga sudah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat beliau termasuk Menteri Luar Turki, Qatar dan Indonesia serta Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai perkembangan di Afghanistan.

“Masyarakat antarabangsa banyak memberi tumpuan kepada aspek-aspek bantuan kemanusiaan dan hala tuju pemerintahan kerajaan baharu Afghanistan.

“Sebagai permulaan, kerajaan sudah mengumumkan sumbangan sejumlah AS$100,000 (RM415,959) yang disalurkan melalui Pejabat Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button