Berita Utama

Polis siasat kejadian penemuan al-Quran dibakar di Kluang

Orang ramai diminta tak buat sebarang spekulasi berhubung penemuan

KLUANG, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Kes penemuan cebisan al-Quran dengan kesan dibakar di jambatan Tasik Taman Seri Impian di Kluang, semalam sedang dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan berkenaan.

“Polis menerima satu laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kejadian itu ketika bersenam di kawasan tasik berkenaan.

“Wanita berkenaan terjumpa senaskhah al-Quran yang dibakar dan hanya tinggal cebisan kertas dan ayat saja.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Hang Seng meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya melaporkan kepada polis bagi memudahkan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkannya di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang,” katanya.

Mereka boleh menghubungi talian 07-7784222, 07-7766822, 07-7784256 atau 014-3656822.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button