Berita Utama

SUHAKAM gagal berfungsi pertahan hak rider p-hailing

Tingkah mereka berbeza jika babit isu gerakan berhaluan kiri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini mengkritik peranan dan fungsi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) kerana gagal mempertahankan hak golongan penghantar makanan (p-hailing) yang ditindas oleh sistem tidak terkawal daripada syarikat penyelia.

Apatah lagi, penindasan itu bukan hanya membabitkan isu status sebagai pekerja, malah ‘rider’ turut didakwa dinafikan hak mereka melaksanakan tuntutan sebagai muslim sewaktu bertugas.

Ketua Media PEMBELA, Haji Rashidi Haris berkata, sehingga kini suruhanjaya itu masih membisu, sedangkan tingkah berkenaan berbeza jika isu yang timbul membabitkan gerakan berhaluan kiri.

Beliau berkata, tatkala isu yang tercetus membabitkan hal ehwal Islam dan orang Islam, SUHAKAM mula menonjolkan sikap ‘pilih bulunya’ untuk bersuara.

“Adakah SUHAKAM ini lidah ataupun benteng bagi gerakan haluan kiri atau agama lain apabila mereka lebih lantang dengan isu melibatkan ‘golongan sebelah sana’, namun apabila melibatkan Islam dan umat Islam mereka diam sejuta bahasa.

“Jelas SUHAKAM perlu ‘direset’ dengan anggota yang lebih berwibawa yang mendukung Perlembagaan Persekutuan, bukan piagam PBB,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, rider beragama Islam mendakwa, mereka berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan berasaskan babi.

Perkara itu menimbulkan rasa kesal kepada Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya apabila isu itu tidak mendapat simpati atau tindakan sepatutnya daripada SUHAKAM.

Mengulas lanjut, Rashidi akui turut kecewa dengan suruhanjaya berkenaan yang diterajui kebanyakan tokoh-tokoh hebat dalam bidang syariah dan ahli majlis agama.

“Namun, ada sesetengah perjuangan mereka itu ada yang bertentangan dengan hak agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan kedudukannya pada Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalannya, kenapa SUHAKAM diam? Apakah kemelut rider yang menjejaskan pendapatan mereka, maka SUHAKAM tidak perlu ambil tahu dan bertanggungjawab menanganinya?

“Apakah menuntut supaya ‘pondan’ bebas berpakaian adalah lebih penting dan bersifat antarabangsa berbanding isu hak rider ini?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button