Berita Utama

Guru KAFA Selangor enggan vaksin dipanggil kali kedua

Ikut perundangan boleh ditamatkan kontrak tapi sumbangan mereka masih diperlukan

BANGI 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Kerajaan Selangor akan memanggil 130 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam tempoh terdekat bagi sesi penerangan kali kedua susulan keengganan mereka menerima vaksin COVID-19.

Sesi penerangan akan melibatkan pakar-pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat dan penjelasan yang tepat berhubung pengambilan vaksin berkenaan.

Mengikut perundangan, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, guru-guru yang menolak pengambilan vaksin COVID-19 boleh ditamatkan kontrak berikutan mereka bukannya berstatus penjawat tetap.

“Namun, kita melihat kepada sumbangan dan peranan mereka yang masih diperlukan jadi kita guna pendekatan bagi memberi pendidikan serta kesedaran kepada pihak terlibat,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa kecewa atas tindakan pihak terlibat.

Mohd Zawawi berkata, terdapat satu kes kematian akibat jangkitan wabak COVID-19 direkodkan di Selangor melibatkan seorang guru Kafa yang dilaporkan belum menerima suntikan vaksin.

“Sebab itu pentingnya guru Kafa divaksin. Murid Tahun 1 dan 2 juga akan divaksin, jadi guru juga haruslah menerima suntikan itu bagi mengelakkan risiko lebih bahaya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button