Berita UtamaDunia

Pakatan Arab Saudi didakwa jarah minyak dari Yaman?

Curi lebih AS$165 juta sebulan daripada pendapatan penjualan minyak Yaman

SANA’A, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Syarikat Petroleum Yaman (YPC) mendakwa negara-negara anggota dalam pakatan pimpinan Arab Saudi yang berperang melawan Yaman menjarah simpanan minyak milik negara miskin itu.

Justeru, YPC mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan bagi meringankan penderitaan rakyat Yaman.

“Kami menderita ekoran operasi penjarahan yang sistematik, yang dilakukan oleh tentera upahan agresif dan dijalankan oleh negara-negara anggota pakatan (yang dipimpin oleh Saudi), dan yang menyasarkan kekayaan rakyat Yaman,” kata jurucakap YPC, Essam Al-Mutawakel kepada rangkaian televisyen al-Masirah, hari ini.

Beliau mendakwa, Emiriah Arab Bersatu (UAE), salah satu negara anggota pakatan itu telah membawa kapal dan berada di pelabuhan Yaman untuk mencuri minyak.

Al-Mutawakel menambah bahawa penceroboh pimpinan Arab Saudi telah mencuri lebih AS$165 juta sebulan daripada pendapatan penjualan minyak Yaman, sementara negara itu sedang menghadapi krisis ekonomi.

Katanya, pendapatan dari kapal ‘Sea Scout’, di mana 950,000 tong minyak mentah dijarah, dapat membayar gaji pekerja di Yaman selama sebulan.

Pada hari Selasa, seorang pegawai Yaman melaporkan bahawa kapal Sea Scout tiba di pelabuhan Bir Ali di wilayah selatan Shabwah.

Jurucakap YPC juga mendesak PBB untuk mengambil sikap ‘objektif dan tidak memihak’ terhadap keadaan ekonomi dan kemanusiaan rakyat Yaman.

Arab Saudi dan sekutunya melancarkan perang dahsyat terhadap negara Timur Tengah yang paling miskin pada tahun 2015 untuk menaikkan semula bekas presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi, sekutu kuat Riyadh, dan menghancurkan gerakan penentangan Ansarullah.

Perang itu disertai oleh pengepungan yang ketat, gagal mencapai tujuannya, tetapi telah membunuh ratusan ribu rakyat Yaman dan membahayakan berjuta-juta orang lagi dengan memusnahkan banyak infrastruktur negara itu.

Menurut PBB, Yaman mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia. 

UNICEF mengatakan bahawa ia memerlukan lebih daripada AS$235 juta untuk meneruskan usaha menyelamatkan nyawa di Yaman. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button