Dunia

Normalisasi Israel: Bahrain, UAE khianat perjuangan Palestin

Perjanjian merupakan satu detik hitam dalam sistem Arab: PLO

RAMALLAH, 28 Muharram 1442H, Rabu – Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) menyifatkan perjanjian yang ditandatangani oleh Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menormalkan hubungan dengan rejim pengganas Israel semalam, sebagai ‘hari hitam’ dalam sistem Arab. 

“Ini adalah hari hitam dalam sejarah sistem Arab, dan hari yang menyedihkan bagi rakyat Palestin dan perjuangannya. 

“Ini adalah satu lagi tikaman khianat di belakang perjuangan, hak, kesucian dan pengorbanan rakyat Palestin,” kata Anggota Jawatankuasa Eksekutif PLO, Wasel Abu Yousef. 

Abu Yousef berkata, kesepakatan itu akan membolehkan Israel terus bertindak zalim terhadap rakyat Palestin dan melakukan jenayah termasuk merampas tanah, pembersihan etnik serta hukuman kolektif di semua wilayah Palestin yang dijajah. 

Sementara itu, Setiausaha Majlis Revolusi Gerakan Fatah, Majid Al-Fityani berkata, pihak yang menandatangani perjanjian itu patut malu kerana berlindung dan taat dengan negara penjajah. 

“Malangnya tindakan menandatangani (perjanjian) berlaku pada malam ulang tahun pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila, pada 16 September 1982 ketika tentera Kristian bersekutu dengan Israel membunuh lebih 3,500 orang awam, kebanyakannya Palestin dan Lubnan, sebuah kem pelarian Palestin di Beirut.

“Ini adalah hari hitam. Malu pada kamu pemerintah UAE dan Bahrain. UAE dan Bahrain tidak mewakili apa-apa kepada rakyat Palestin dan tidak bercakap bagi pihak mereka. Kami mempunyai wakil tunggal dan sah iaitu PLO,” katanya.

Terdahulu, Bahrain, UAE dan Israel telah menandatangani secara rasmi perjanjian normalisasi hubungan dalam satu majlis yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House.

Bahrain menjadi negara Arab keempat menjalinkan hubungan dengan Israel pada Jumaat lalu, setelah Mesir pada tahun 1979, Jordan pada tahun 1994 dan UAE pada Ogos lalu. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button