Berita UtamaIstimewa

PRN Melaka: Strategi tanding solo UMNO pecahkan undi Melayu

Pertaruhan besar UMNO kembali dominan beri peluang PH kembali memerintah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Strategi UMNO untuk bergerak solo dalam menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat sebagai satu pertaruhan yang agak besar.

Ini kerana, UMNO sekarang terdesak untuk kembali menjadi sebuah parti yang dominan, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Justeru, kerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditolak tepi kali ini kerana UMNO dijangka menjadikan PRN Melaka sebagai simulasi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Mereka (UMNO) akan melihat adakah dengan menyertai PRN Melaka secara solo akan membuahkan hasil atau tidak. Sekiranya UMNO berhasil memenangi PRN ini secara solo, maka ia akan memberi mesej bahawa UMNO akan berjaya dalam PRU15 akan datang dengan cara solo juga.

“Dengan hasil strategi ini, UMNO mampu menjadi sebuah parti yang dominan seperti sebelumnya. Akan tetapi, sekiranya tiga penjuru di Melaka itu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH), maka UMNO mungkin akan mempertimbangkan dari sudut strateginya untuk bekerjasama dalam PRU akan datang.

“Jadi PRN Melaka ini seolah satu simulasi untuk menguji pengaruh masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, belum ada satu persetujuan yang jelas mengenai kerjasama dalam PRN Melaka, namun kebimbangan jika PH kembali berkuasa sudah pasti mendorong pemimpin-pemimpin termasuk UMNO, PAS dan Bersatu untuk bekerjasama.

“Sememangnya ada kepercayaan bersama dalam parti dalam kerajaan sekarang. Mereka sependapat bahawa mereka perlu menghalang Pakatan Harapan daripada mendapatkan semula kuasa di Melaka.

“Kerjasama tiga parti itu mungkin memberi kelebihan kepada parti masing-masing apabila berdepan dengan PH.

“Sekiranya berpecah maka sudah pastilah undi Melayu terpecah-pecah dan akan memberi kelebihan kepada PH. Manakala, jika PAS dan Bersatu mampu memenangi beberapa kerusi yang signifikan itu sebenarnya petanda bahawa koalisi ini mampu pergi lebih jauh pada PRU15,” kata Dr Mazlan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button