Berita UtamaDunia

Putin bingung ramai rakyatnya enggan divaksin

Kerajaan laksana tempoh tidak bekerja seminggu kerana jumlah jangkitan, kematian COVID-19 meningkat

MOSCOW, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan rakyat di negara ini untuk ‘cuti bekerja’ selama seminggu mulai akhir bulan ini ekoran peningkatan jumlah jangkitan dan kematian COVID-19.

Pasukan petugas kerajaan pada hari Rabu melaporkan 1,028 kes kematian COVID-19 dalam 24 jam sebelumnya, jumlah tertinggi sejak bermulanya wabak tersebut.  

Ia menjadikan jumlah kematian COVID-19 di Russia kini mencecah 226,353 orang, iaitu yang tertinggi di Eropah.

Putin mengatakan bahawa beliau menyokong cadangan Kabinet untuk memperkenalkan tempoh tidak bekerja mulai 30 Oktober dan berlanjutan hingga minggu berikutnya.

Empat dari tujuh hari cuti itu merupakan hari cuti negara.

Beliau berkata, di beberapa wilayah di mana situasinya paling berisiko, waktu cuti bekerja bermula seawal Sabtu ini (23 Oktober) dan dilanjutkan sehingga 7 November.

“Tugas kita hari ini adalah untuk melindungi kehidupan dan kesihatan rakyat kita dan meminimumkan kesan daripada jangkitan berbahaya,” kata Putin dalam panggilan video bersama pegawai tinggi pada hari Rabu.

Angka kematian coronavirus harian Russia meningkat sejak beberapa minggu dan mencapai angka 1,000 untuk pertama kalinya pada hujung minggu ini di tengah situasi kadar vaksinasi yang perlahan, ekoran sikap pandang ringan masyarakat terhadap langkah berjaga-jaga dan keengganan kerajaan untuk mengetatkan sekatan.

Kira-kira 45 juta rakyat Russia atau 32 peratus daripada hampir 146 juta orang di negara ini, telah diberi vaksin sepenuhnya.

Pemimpin Russia itu yang menerima vaksin Sputnik V domestik awal tahun ini mengatakan, beliau bingung melihat keraguan orang ramai mengenai vaksin, bahkan di kalangan rakan-rakan rapatnya.

“Saya tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku. Kami mempunyai vaksin yang boleh dipercayai dan efisien. Vaksin ini benar-benar mengurangkan risiko penyakit, komplikasi serius dan kematian,” katanya. – 

Walaupun Russia pada bulan Ogos 2020 menjadi negara pertama di dunia yang membenarkan penggunaan vaksin COVID-19 dan mempunyai bekalan yang banyak, rakyat Russia sebaliknya menunjukkan keraguan untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Keraguan itu dipersalahkan atas isyarat bercelaru yang dihantar oleh pihak berkuasa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button