Berita UtamaDunia

Rakyat Palestin gesa Israel bebaskan 6 tahanan mogok lapar

Kebanyakan mereka berisiko mati selepas berpuluh hari tak makan dan minum

RAMALLAH, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Puluhan rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan di Dataran al-Manara di pusat bandar Ramallah, semalam bagi menggesa pembebasan enam tahanan yang melakukan mogok lapar di penjara Israel, di mana beberapa di antaranya berisiko mati.

Keenam-enam tahanan tersebut melakukan mogok lapar terbuka untuk memprotes ketidakadilan mereka ditahan atas perintah ‘penahanan pentadbiran’ – sebuah dasar Israel yang membenarkan penahanan rakyat Palestin tanpa had berdasarkan ‘maklumat rahsia’ – tanpa membuat tuduhan rasmi atau membawa mereka ke perbicaraan mahkamah.

Demonstrasi itu dihadiri oleh keluarga tahanan, yang berasal dari pelbagai bandar di Tebing Barat diduduki, serta orang awam dan kumpulan tahanan.

Ketua Persatuan Tawanan Palestin (PPS), Qadura Fares berkata: “Pertempuran yang dilalui oleh pahlawan kita adalah pertempuran setiap rakyat Palestin.

“Kami berdiri di hadapan senario yang sangat berbahaya hari ini. Kami menyeru gerakan kebangsaan – di Tebing Barat, Gaza, Baitulmaqdis dan wilayah yang diduduki 1948.

“Israel ingin mengubah kita menjadi penduduk yang meminta hak sivil, bukan hak kebangsaan,” kata Fares, sambil memaklumkan bahawa ratusan tahanan mengancam untuk turut serta dalam mogok lapar tersebut hari ini

Pada hari Selasa, salah seorang tahanan, Miqdad al-Qawasmi yang telah menolak makanan dan minuman selama 91 hari, dipindahkan ke unit rawatan intensif (ICU) di hospital Kaplan Israel dekat Ramle.

Peguamnya, Jawad Bulous mengatakan kesihatannya merosot dengan cepat dan dia ‘berdepan risiko kematian’.

Ayah Qawasmi mengatakan bahawa anaknya sedang mogok lapar untuk menjamin pembebasannya.

“Mereka yang mogok lapar mewakili lambang kebebasan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button