Berita Utama

Tarik permit operasi pengeluar arak ‘Timah’

Hentikan malapetaka melalui kuasa administratif yang ada

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Kerajaan perlu bertindak tegas dengan menarik balik permit operasi pengeluar arak jenama ‘Timah’ kerana seolah tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Bilal Jailani berkata, pihak berkuasa boleh menghentikan malapetaka ini melalui kuasa pentadbiran yang ada.

“Tarik sahaja permit operasi yang diberikan kepada mereka, selesailah isu ini.

“Pada masa sama, ebagai rakyat yang cintakan kesihatan dan keharmonian negara, kita boleh lancarkan boikot dan ‘perang bawang siber’ kepada syarikat pengusaha minuman keras dan semua sekutunya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengeluaran sejenis wiski buatan Malaysia diberi nama ‘Timah’ yang tular di media sosial.

Keadaan itu menyebabkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan mengarahkan syarikat terbabit segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan, demi memelihara suasana harmoni di antara pelbagai kaum di negara ini.

Bagi masyarakat Melayu, ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam.

Ustaz Bilal berkata, logiknya tiada keperluan untuk syarikat berkenaan melancarkan minuman berkenaan selain untuk mencari keuntungan semata-mata.

“Mereka adalah kapitalis jijik yang mahu mengaut keuntungan atas kebodohan orang lain.

“Mereka juga adalah syarikat yang paling tiada nilai, jadi seharusnya hentikan malapetaka ini melalui kuasa administratif yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz bilal mengakui pelik dengan segelintir pihak yang mengangungkan arak sehingga mengenangkan sejarah ‘najis’ masuk ke Tanah Melayu.

“Isu arak ini mudah saja, ia adalah musuh besar kemanusiaan. Orang yang minum arak adalah tak manusiawi jadi kenapa kita nak benarkan manusia rosakkan diri.

“Kerja-kerja mengagungkan itu, adalah sama saja seperti mengenang komunis menjarah tanah air, atau Alfonso de Albuquerque melanggar istana Melaka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button