Berita Utama

Tukar status SK ke SJKC: Penduduk Kinrara bawa kes ke SPRM

Desak siasat secara teliti jika berlaku salah guna kuasa

PUCHONG, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta campur tangan berhubung isu penukaran status tapak Sekolah Kebangsaan (SK) kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) di Jalan 5B Bandar Kinrara.

Perkara itu dibangkitkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Bandar Kinrara, Haji Mohamad Haron Mohamad Sidik yang khuatir wujud salah guna kuasa dalam isu berkenaan.

“Penduduk di Bandar Kinrara sepakat minta SPRM buat siasatan terperinci berhubung salah guna kuasa dan kita hendak tahu siapa yang gatal tangan luluskan permohonan ini semasa MCO hari itu.

“Ini kerana terlalu banyak perkara yang mencurigakan yang perlu diberi perhatian yang sangat serius oleh semua pihak,” katanya seperti dipetik portal samudera.my.

Beliau berkata, pihaknya telah ke pejabat SPRM pada 27 September lalu bagi menyerahkan laporan dan tindakan susulan berhubung isu bantahan ini yang diadukan pada 10 Mei 2021.

“Bayangkanlah hampir suku dari keseluruhan tanah-tanah berbukit di tapak ini telah berjaya dibawa keluar secara tergesa-gesa. Tiada sesiapa yang dapat menghalang kerakusan mereka ini.

“Jika tiada maklum balas sehingga Ahad depan, Badan Bertindak Bandar Kinrara akan merancang untuk buat perhimpunan aman secara besar-besaran,” katanya lagi.

Objektif Badan Bertindak Bandar Kinrara dilancarkan adalah bagi menyelamatkan pencerobohan tanah Bandar Kinrara 5B milik Sekolah Kebangsaan (SK) kepada SJKC Too Joon Hing.

Dalam pada itu, Mohamad Haron memaklumkan, pihaknya menerima khabar bahawa isu berkenaan akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button