Berita Utama

BERSATU tak jujur bela orang Melayu, ada agenda tersembunyi, dakwa UMNO

Lebih pentingkan kuasa memerintah, perjuangan tak ikhlas

 

BANGI, 14 Rabiulawal 1443H, Khamis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah parti tidak jujur untuk membela orang Melayu kerana mempunyai agenda tersembunyi dalam perjuangan.

Demikian dakwa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohamad, sambil menyifatkan BERSATU sebagai parti tidak ikhlas yang boleh membawa perpecahan.

“Perkara ini berlaku kepada saya sendiri ketika bersama BERSATU yang ketika itu jadi pemimpin, apabila kita minta untuk lantik pemimpin kecil di peringkat kampung mereka tidak hiraukan dan abaikan.

“Jadi bagaimana mahu bersama dalam perjuangan yang besar sekiranya agihan di peringkat kecil tidak boleh dilaksana secara adil dan langsung tidak beri kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bual bicara Dimensi bertajuk PRN Melaka – Undi Melayu Pecah yang disiarkan di saluran TV Pertiwi secara langsung malam ini.

Tegas Mohd Ali, BERSATU lebih mementingkan kuasa memerintah dan bukannya menegakkan perjuangan yang ikhlas.

Bahkan dakwanya, BERSATU lebih rakus untuk memegang kuasa sehingga sanggup membuat penyatuan kerana tidak mahu pihak lain yang mendapat kuasa.

“Kalau kita berpakat untuk berkuasa sahaja apabila bergolak akan wujud gunting dalam selimut yang akhirnya penyatuan yang kita bentuk tidak ke mana-mana,” dakwanya.

Pautan Dimensi
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/948740282377963

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button