Berita Utama

‘Timah’ nama sensitif, pelik bagaimana boleh lulus

Jangan mudah luluskan jenama yang mengelirukan rakyat Malaysia

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Meskipun pengurusan pengeluar arak jenama Timah sudah menjelaskan ‘alasan’ penggunaan nama tersebut, namun belum mampu meredakan kebimbangan umat Islam.

Sehubungan itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Cikgu Izzat Johari meminta pihak berkuasa membuat penyelarasan dalam meluluskan sebarang jenama yang dikeluarkan dalam Malaysia.

Antaranya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Saya tak faham, pegawai mana yang meluluskan jenama arak ‘Timah’ tersebut.

“Bagi saya, jelas. Nama tersebut memang sensitif dan sepatutnya tidak boleh diluluskan.

“Jangan mudah luluskan jenama yang mengelirukan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Isu arak jenama ‘Timah’ menjadi tular susulan sebuah iklan beberapa hari lalu, yang menyatakan sejenis wiski buatan Malaysia diberi nama ‘Timah’ berserta paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman tersebut.

Tindakan berkenaan mendapat kecaman ramai berikutan tidak menghormati hak kerana bagi masyarakat Melayu, kerana ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad ﷺ yang amat dihormati oleh umat Islam.

Bagaimanapun menurut pihak pengurusan pengeluar arak itu, terdapat beberapa maklumat yang salah tersebar dan perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku salah faham.

Katanya, Timah adalah perkataan tempatan yang bermaksud ‘Timah’ dan jenama Timah Whiskey diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman British Malaya.

Manakala, gambar ikon di botol pula adalah Kapten Speedy yang merupakan salah seorang lelaki yang memperkenalkan budaya whiskey ketika zaman tersebut.

Dalam perkembangan lain, Cikgu Izzat menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lebih sensitif dalam menerima sebarang produk yang masuk ke Malaysia.

Ia termasuk dengan mengambil kira sensitiviti, status halal dan kebersihan.

“Rakyat Malaysia perlukan sumber makanan dan minuman yang bersih dan diyakini. Apatah lagi umat Islam yang mewajibkan sumber yang halal. Selari dengan seruan Kempen BMF Malaysia yang kini sudah dua tahun kempen berjalan.

“Saya berharap, umat Islam terus fokus dalam kempen BMF dan terus mengutamakan produk muslim. Biarlah kita susah sekarang tetapi kelak, semoga kita mendapat keberkatan Allah di dunia dan akhirat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button